Bagi mengekang aktiviti penagihan dadah yang semakin menular kalangan belia Felda, satu program pembersihan diadakan sempena Karnival Masjid Wilayah Mempaga dan Program My Beautiful Malaysia di Masjid Gugusan Felda Tersang, semalam.
Pegawai Daerah Raub, Datuk Khairulanuar Mahmood berkata, usaha membanteras lokasi penagihan dadah di Felda perlu dibuat lebih kerap bagi memastikan tanah rancangan terbabit bebas barang terlarang itu.
Menurutnya, hampir 50 peratus perlakuan jenayah di negara ini ada kaitan dengan dadah dan kebanyakan kes ragut umpamanya dilakukan penagih yang memerlukan wang untuk membeli dadah.
“Gejala dadah menimbulkan pelbagai kesan negatif sebab ia tidak hanya membahayakan penagih itu sendiri, namun ia turut memberi kesan kepada masyarakat Felda.
“Antaranya masalah kecurian buah sawit selain kejadian pecah rumah. Mereka kini bertindak lebih berani dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival berkenaan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Tersang Al-Iman Muhammad, 14, berkata, program ini memberi pendedahan dan kesedaran betapa bahayanya dadah dalam kehidupan.
“Walaupun saya masih bersekolah, namun saya akan bantu orang kampung banteras dadah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Rawatan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Wan Maisarah Wan Abu Mansur berkata, melalui usaha tersebut, gejala negatif itu dapat dikekang sekali gus membersihkan imej Felda Tersang.
“Ini pendekatan terbaru AADK selain tangkap penagih dadah dalam operasi rutin. Kalau kami tangkap penagih tapi tempat mereka masih ada, ia mungkin tidak berkesan sebab aktiviti tidak sihat itu masih boleh dilakukan.
“Kami akan musnahkan sarang penagih secara berterusan supaya mana-mana tempat baharu juga dapat dibersihkan,” katanya.
Dalam pada itu, pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan percuma serta tazkirah sempena Israk Mikraj turut diadakan pada Karnival Masjid Wilayah Mempaga dan Program My Beautiful Malaysia.
Turut diadakan, gotong- royong membersihkan sarang penagihan dadah terutamanya di belakang kawasan Masjid Gugusan Felda Tersang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor