Pages

Saturday, May 28, 2016

RACUN TIDAK DIKESAN DALAM BIJIRIN QUAKER OATS


 Quaker Oats


Putrajaya - Kementerian Kesihatan mengesahkan produk makanan bijirin oat jenama Quaker Oats yang dijual di pasaran tempatan tidak mengandungi glyphosate iaitu sejenis racun rumpai. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mengikut sub peraturan 41(3), Peraturan-Peraturan Makanan 1985, kadar maksimum residu glyphosate yang dibenarkan dalam makanan bijirin termasuk oat adalah 30miligram/kilogram (mg/kg). 

"Kementerian Kesihatan mengambil maklum isu residu racun perosak glyphosate dalam produk makanan bijirin jenama Quaker Oats yang disiarkan melalui laman web Fox News dan New York Post serta tersebar luas di media sosial kebelakangan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Katanya laman web itu melaporkan seorang pengguna di Brooklyn, Amerika Syarikat mengemukakan saman ke atas syarikat pengeluar makanan bijirin jenama Quaker Oats kerana syarikat itu didakwa menyembur glyphosate ke atas oat sebagai agen pengering sejurus sebelum oat dituai. 

Menurut Noor Hisham, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna melalui penguatkuasaan bersungguh-sungguh dan berterusan demi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan terkawal. 

"Pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika ada aduan berkaitan keselamatan makanan," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor