Pages

Wednesday, May 18, 2016

[PEKAN] 'SEMPAT LARI TAKUT DIHEMPAP PESAWAT'


'Sempat lari takut dihempap pesawat'


"Saya tengah meracun di bendang...tiba-tiba nampak pesawat terbang rendah dan membuat pusingan sebelum terhempas kira-kira 1KM dari tempat saya berada".

Demikian cerita seorang penduduk, Ab Jalil Abd Karim, 47, yang menyaksikan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Aermacchi MB339CM yang terhempas di Kampung Serum, di sini, sekitar jam 12.54 tengahari, semalam.

Beliau yang sedang dalam persediaan untuk menanam padi itu bertindak melarikan diri kerana bimbang sesuatu berlaku pada dirinya disebabkan pesawat seperti mahu terhempas menghala ke arahnya.

Beliau turut melihat dua juruterbang menyelamatkan diri menggunakan payung terjun yang juga jatuh kira-kira 1KM dari petak sawahnya.

"Selepas ia terhempas, saya orang pertama sampai di tempat kejadian sebelum penduduk kampung lain sampai 20 minit kemudian. Saya sempat hubungi kawan untuk minta bantuan.

"Juruterbang tu pula penduduk lain pergi selamatkan dia. Saya nampak payung terjun mereka tak sempat kembang besar sebelum jatuh," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kebetulan isterinya datang membawa makanan tengah hari dan dapat bagi air minuman kepada dua juruterbang itu.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Nenasi Pantai, Nohd Rodzi Harun, 62, yang ditemui mengakui penduduk sudah tidak asing dengan pesawat yang terbang di kawasan berkenaan.

Namun tidak menyangka akan berlaku kejadian kemalangan pesawat terhempas iaitu yang pertama kali berlaku.

"Nasib baik sekarang bukan musim padi dan baru-baru ini ada hujan..jadi tanah tak kering sangat yang mungkin menyebabkan ia tidak terhempas kuat.

"Saya dapat tahu kedua juruterbang selamat walaupun mengalami cedera, kami ucapkan syukur," katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan media dikeluarkan Markas Tentera Udara, pesawat Aermacchi MB339CM yag berpengkalan di Pangkalan Udara Kuantan itu dikatakan mengalami masalah teknikal ketika membuat penerbangan latihan.

Kedua juru terbang (seorang pelatih) dilaporkan selamat apabila berjaya keluar menggunakan kerusi injap pesawat.

Difahamkan pesawat berkenaan membuat panggilan kecemasan pada jam 12.50 tengah hari selepas mengalami masalah enjin sebelum terhempas di barat daya Nenasi.

TUDM akan menubuhkan sebuah Lembaga Penyiasatan bagi menyiasat punca kemalangan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor