Pages

Sunday, May 15, 2016

[PEKAN] GWGF, 60 RAJD AGIH AIR BERSIH


GWGF, 60 RAJD agih air bersih


Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) dengan kerjasama Pakar Pengendalian Air Ke-60, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) menyalurkan bantuan bekalan air besih kepada penduduk sekitar Gugusan Felda Chini, di sini yang mengalami krisis air susulan cuaca panas melampau melanda kawasan itu.

Ketua Pegawai Operasi GWGF, Mohd Ismail Masri berkata, misi selama 10 hari itu bermula pada 26 April dan berakhir 5 Mei lalu.

Menurutnya, kawasan terjejas yang dibantu ialah Felda Chini Timur 1, Felda Chini Timur 2, Felda Chini Timur 3, Felda Chini 1, Felda Chini 2, Felda Chini 3, Felda Chini 4, Felda Chini 5 dan perkampungan Orang Asli sekitar gugusan itu.

"Lebih 4,600 akaun penduduk sekitar gugusan Chini terjejas susulan cuaca panas berpanjangan ini.

"Sepanjang misi bantuan dijalankan, GWGF dan RAJD mendapat kerjasama penuh daripada Adun Chini, Datuk Abu Bakar Haron," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, Abu Bakar sentiasa cakna dalam membantu setiap peneroka Felda yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Katanya, pengagihan bekalan air bersih dan terawat dari rumah ke rumah banyak membantu melancarkan kehidupan harian setiap warga Felda yang terputus bekalan air besih.

"Pengagihan seperti ini dapat memastikan penduduk terlibat dapat merasai kembali bekalan air bersih yang dihantar petugas-petugas," katanya.

Mohd Ismail berkata, bantuan daripada GWGF dan RAJD itu adalah atas keprihatinan Presiden GWGF, Tan Sri Rozali Ismail.

Beliau berkata, Bridged Jeneral RAJD itu sememangnya sentiasa prihatin dengan masalah dihadapi warga Felda.

Menurutnya, GWGF juga sebuah NGO yang aktif memberi bantuan dalam pelbagai misi bagi meringankan beban warga Felda.

Katanya, misi dilaksanakan itu dapat mendekatkan dan mengeratkan hubungan GWGF dengan penduduk.

Mohd Ismail berkata, pihaknya menghargai jasa semua pihak terlibat menjayakan misi tersebut.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor