Pages

Wednesday, May 11, 2016

PADAH TANGKAP BIAWAK AIR


biawak air


Kuala Terengganu - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menahan empat warga Vietnam yang sedang menangkap biawak air, dalam satu operasi di sekitar Pusat Rekreasi Chendering, di sini, kelmarin.

Operasi khas dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa kira-kira jam 2.30 petang itu adalah susulan aduan penduduk kampung di sekitar Kuala Ibai dan Chendering, di sini, berhubung tindakan nelayan warga Vietnam yang menjalankan aktiviti menangkap biawak air secara berleluasa tanpa menjaga sensitiviti penduduk kampung di sini.

Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata, hasil risikan dijalankan oleh tujuh anggota penguat kuasa sebelum itu, mendapati seramai empat lelaki warga Vietnam sedang berjalan ke arah Pelabuhan Chendering sambil memikul empat ekor biawak air yang masih hidup.

“Keempat-empat warga Vietnam yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun ini ditahan dan soal siasat dijalankan mereka mengaku menangkap hidupan liar ini di sekitar Pusat Rekreasi Chendering, di sini, untuk dibawa pulang dan dijual ke negara mereka.

“Siasatan seterusnya mendapati biawak air merupakan antara makanan eksotik yang paling digemari di negaranya (Vietnam) selain turut tersenarai antara makanan kegemaran rakyat yang hidup mewah di sana,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.

Mohd Hasdi berkata, selain empat nelayan tersebut, pihaknya turut menahan seorang tekong juga warga Vietnam selepas serbuan seterusnya dilakukan terhadap sebuah bot dipercayai milik mereka di Pelabuhan Chendering, di sini.

“Pemeriksaan turut menjumpai sebahagian daging hidupan liar yang disyaki babi hutan di dalam bot terbabit sebelum menahan seorang lelaki tempatan yang secara kebetulan berada di lokasi dipercayai penjual daging babi hutan itu kepada mereka.

“Siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu datang ke lokasi dengan sebuah kereta untuk menjual daging babi hutan kepada nelayan warga Vietnam yang berlabuh sementara di pelabuhan di sini,” katanya.

Katanya lagi, lima warga Vietnam itu ditahan reman selama empat hari untuk disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Seksyen 60(a) dan 60 (b) iaitu menyimpan hidupan liar yang dilindungi dan juga bahagian hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen yang sah.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara.

“Manakala lelaki warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis, bagaimanapun kereta miliknya telah disita,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Hasdi mengingatkan kepada orang ramai agar jangan sesekali berhasrat untuk membekalkan daging hidupan liar ini kepada warga asing kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan.

Selain itu, Mohd Hasdi turut menasihatkan kepada orang awam terutamanya penduduk kampung yang berdepan gangguan biawak air atau babi hutan, selain diganggu dengan aktiviti menangkap hidupan liar terutama daripada warga asing, boleh menghubungi pihaknya di talian 09-6221460 untuk tindakan susulan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor