Pages

Friday, May 13, 2016

[LIPIS] TERHARU JIRAN MELAYU SELAMAT NYAWA


Terharu jiran Melayu selamat nyawa


Menetap di persekitaran 90 peratus penduduknya adalah Melayu bukanlah satu masalah bagi sepasang suami isteri berbangsa India di Felda Sungai Koyan 3, mukim Hulu Jelai di sini.

Bagi S Gengan @ Thanimalai, 78, dan isterinya, M Janagi, 65, tinggal di kawasan itu sejak 1977 banyak mengajar mereka erti kerjasama dan saling hormat-menghormati sesama penduduk walaupun berbeza bangsa serta agama.

Gengan berkata, ketika mula-mula menetap di Felda Sungai Koyan, hanya terdapat 13 keluarga India dan 22 keluarga Cina di situ, manakala majoriti penduduknya adalah Melayu.

Menurutnya, jika tiba musim perayaan sama ada hari raya, Deepavali atau Tahun Baharu Cina, penduduk di kawasan itu akan bersama-sama meraikannya dengan meriah.

“Kalau tiba hari raya saya akan ikut mereka (orang Melayu) ziarah dari rumah ke rumah...kalau 20 buah rumah mereka pergi 20 rumah juga saya ikut.

“Saya juga suka makan wajik (nasi manis), kalau hari raya atau ada kenduri kendara makanan tu yang saya cari dulu,” katanya ketika ditemui di Felda Sungai Koyan, di sini.

Peneroka itu berkata, setiap kali kenduri diadakan di kawasan bloknya, dia akan ditugaskan untuk menyediakan minuman.

Menurutnya, tugas tersebut diterima sejak dahulu lagi dan dia gembira kerana dapat bekerjasama dengan penduduk setempat.

“Kalau ada orang blok buat kenduri, saya dan rakan baik, Mat Dangi Husin akan jaga bahagian air. Kami akan sama-sama masak dan bancuh air.

“Begitu juga kalau saya adakan kenduri, mereka (orang Melayu dan Cina) akan datang sama-sama untuk meraikan dan memeriahkan majlis.

“Bila tiba perayaan Deepavali saya akan tempah makanan dari kedai makan orang Melayu...banyak menu yang disediakan seperti kari kambing, kari ikan dan nasi ayam,” katanya.

Gengan berkata, dia kerap menyertai aktiviti bersama penduduk dan pemimpin setempat seperti menyampaikan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

Katanya, penglibatan menerusi aktiviti seperti itu dapat mengeratkan hubungan silaturahim bersama penduduk serta mengukuhkan perpaduan walaupun berbeza warna kulit.

Anak cucu tak kekok

Gengan berkata, peristiwa dia terkena serangan jantung tiga tahun lalu tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada jirannya, dikenali sebagai Atan yang segera menghantarnya ke klinik ketika itu.

Menurutnya, jika tiada pertolongan Atan, berkemungkinan dia sudah tiada.

“Serangan jantung berlaku secara tiba-tiba. Isteri saya terus pergi ke rumah Atan yang berhadapan dengan rumah kami untuk minta tolong.

“Atan yang bawa saya ke Klinik Kesihatan Felda Sungai Koyan untuk dapatkan rawatan. Sampai sekarang saya terharu dengan bantuannya,” katanya.

Sementara itu, Janagi berkata, dia gembira hidup bersama penduduk kawasan Felda berkenaan dan tidak pernah timbul perkara negatif seperti isu perkauman serta keagamaan.

Menurutnya, tujuh anak serta 11 orang cucu mereka juga tidak kekok bergaul dengan masyarakat Melayu malah sering menjalankan aktiviti bersama-sama sejak kecil.

“Hampir setiap petang saya pergi duduk bersama di bawah pokok dekat rumah jiran sebelah. Kami akan bancuh air dan potong buah-buahan untuk dinikmati bersama.

“Seronok duduk dekat sini sebab ada ramai kawan dan jiran yang baik hati...kami tak pernah bermasam muka malah sentiasa ringan tulang untuk membantu satu sama lain," katanya.


1 comment:

  1. Bestkan kalau pihak media tv interview untuk tatapan umun.

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor