Seramai 20 kanak-kanak Tabika Kemas Lipis menyertai Pertandingan Masterchef Cilik sempena program Hari Kesihatan Sedunia, di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis, kelmarin.
Pembabitan kanak-kanak berusia antara 5 hingga 6 tahun itu menarik perhatian pengunjung apabila mereka berpeluang melihat peserta menunjukkan kemahiran menyediakan sandwic dalam tempoh 40 minit.
Guru Tabika Kemas Kampung Gua, Norfariah Jamaluddin, 28, berkata, pengunjung teruja apabila melihat kanak-kanak itu tidak kekok menyediakan sandwic dalam tempoh yang ditetapkan.
“Sememangnya kanak-kanak ini telah pun diajar kaedah menyediakan sandwic dan makanan lain berasaskan menu kesihatan semasa sesi pembelajaran di kelas masing-masing,” katanya di sini, kelmarin.
Norfariah berkata, pertandingan itu boleh menajamkan minda, membentuk nilai inovasi dan kreatif kanak-kanak termasuk kerjasama ketika mereka melakukan sesuatu kegiatan di kelas Tabika dan rumah.
Sementara itu, ibu kanak-kanak Tabika, Nur Hayati Mohd Azhan, 38, berkata, pertandingan Masterchef dapat meyakinkan kanak-kanak melakukan kegiatan bermanfaat sekali gus mendidik mereka berdikari semasa di rumah.
“Kegiatan ini dapat memberi peluang kanak-kanak menunjukkan bakat memasak atau menyediakan makanan ringkas di samping tidak timbul rasa segan dan malu ketika berdepan dengan orang lebih dewasa,” katanya.
Menurutnya, Kemas disaran melebarkan banyak pertandingan berbentuk reka cipta yang boleh melestarikan nilai kreatif dan kritis serta melatih kanak-kanak itu berinovasi dalam sesuatu bidang bermula di peringkat tabika.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor