Pages

Wednesday, May 25, 2016

[KUANTAN] TEGAS BENDUNG AJARAN SESAT, SYIAH DAN WAHABI


Ajaran Sesat


Kerajaan negeri Pahang tegas dalam membendung penularan ajaran sesat, fahaman syiah dan wahabi daripada berkembang di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad. 

Beliau berkata tindakan bersepadu antara semua agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama sentiasa diperkasakan seperti pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Menangani Ajaran Sesat dan Meragukan Negeri Pahang. 

"Bagaimanapun, kerajaan negeri belum bercadang untuk mewujudkan Akademi Ahli Sunnah Wal Jamaah memandangkan tindakan berterusan sentiasa dijalankan pihak berkuasa," katanya pada persidangan Dun Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail (BN-Chenor) yang bertanya tentang cadangan mewujudkan akademi itu. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin memberitahu bahawa perpustakaan awam negeri di Jalan Gambut di sini telah ditutup. 

Penutupan itu bagi membolehkan proses memindahkan buku-buku ke bangunan baharu di Kamunting di sini, yang dijanga akan beroperasi pada hujung tahun ini, katanya. 

Mengenai kehadiran pengunjung ke perpustakaan, Shahaniza berkata perbadanan perpustakaan sentiasa mengemas kini dan memastikan perpustakaan awam daerah, cawangan dan desa dilengkapi kemudahan internet bagi menarik golongan muda. 

"Perpustakaan Awam Pahang sentiasa mengemas kini bahan di perpustakaan dengan koleksi terkini buku ilmiah, rujukan, novel, majalah, jurnal dan terbitan khas ba menarik pengguna. 

"Perpustakaan juga membekalkan surat khabar dan majalah secara online sebagai kemudahan kepada masyarakat," katanya menjawab soalan Choong Siew Onn (DAP-Tras) yang bertanya tentang usaha kerajaan negeri bagi menarik kehadiran pengunjung ke perpustakaan awam.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor