Pages

Sunday, May 22, 2016

[KUANTAN] TAWAR TANGGUH BAYARAN ANSURAN


Tawar tangguh bayaran ansuran


Agrobank mengambil tindakan proaktif menawarkan penangguhan bayaran ansuran (moratorium) atau penstrukturan semula bayaran kepada pelanggan kalangan penternak ikan sangkar sekitar Temerloh yang terkesan akibat fenomena El-Nino.

Keadaan Sungai Pahang di sekitar Temerloh yang kritikal sejak sebulan lalu menyebabkan hampir 17 pengusaha ikan sangkar yang juga pelanggan Agrobank hilang mata pencarian, dengan anggaran purata kerugian sehingga RM50,000 (setiap seorang) berikutan ikan ternakan mati.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, pelan berkenaan bertujuan membantu dan mengurangkan beban yang ditanggung pelanggan Agrobank menghadapi bencana yang tidak disangka.

Menurutnya, langkah proaktif itu dibuat bagi memastikan pelanggan tidak terbeban dan dalam pada masa sama membantu penternak memulihkan semula sangkar ikan ternakan mereka.

Wan Mohd Fadzmi berkata, pihak bank akan memproses dan menilai setiap permintaan mengikut keadaan masing-masing sama ada menangguhkan bayaran ansuran pembiayaan sehingga 12 bulan untuk pelanggan yang kehilangan sumber pendapatan dan mengalami kemusnahan projek.

Katanya, satu perjumpaan dengan pelanggan terlibat diadakan di Cawangan Agrobank Temerloh pada 5 Mei lalu bagi memberi penerangan dan kefahaman berkaitan dengan ‘moratorium’ yang telah diluluskan.

Bagi Pengerusi Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sungai Pahang, Khaidir Ahmad, 54, berkata, keprihatinan Agrobank dalam memahami masalah penternak ikan sangkar sangat dihargai.

Menurutnya, pendapatan mereka terjejas teruk, justeru dengan tawaran penangguhan itu, penternak yang terjejas sekurang-kurangnya boleh menyusun atur kembali kewangan perniagaan masing-masing.

Pendapat sama turut disokong Rosmaini Sulaiman, 63, yang turut terjejas apabila ikan patin dan tilapia yang diternak mati akibat cuaca panas sehingga kerugian hampir RM20,000.

“Mujur Agrobank tawarkan pelan penangguhan sekali gus bantu ringankan beban kami,” katanya.

Pelanggan yang terjejas disaran ke cawangan Agrobank terdekat untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Selain itu, pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Agrobank menerusi talian 1-300-88-2476 atau layari laman web rasmi Agrobank di www.agrobank.com.my.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor