Syarikat pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Anih Berhad buat julung kalinya akan menganjurkan hadiah kewartawanan LPT khusus untuk media Pahang.
Pengarahnya, Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pertandingan itu bermula pada Jun hingga Disember ini dan akan dinilai juri profesional pada awal tahun hadapan sebelum keputusannya diumumkan pada April 2017.
"Objektif utamanya adalah untuk mengiktiraf media Pahang yang bukan hanya berperanan sebagai penyebar maklumat berkaitan LPT, tetapi juga mempunyai tanggungjawab dan amanah penting bagi menyuburkan nilai positif mengenai peranan LPT kepada pengguna.
"Pertandingan ini juga bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan wartawan Pahang meneroka nilai komersial LPT yang jarang diketahui umum dengan menghasilkan berita, artikel, dokumentari yang menarik dan membina," katanya.
Nik Fauzi berkata demikian semasa berucap pada program tahunan Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah bersama media Pahang di sini kelmarin, yang disertai lebih 200 pengamal media dan kakitangan Anih Berhad.
Mengulas lanjut, Nik Fauzi berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua pengamal media cetak dan elektronik di Pahang dan melibatkan tujuh kategori termasuk hadiah utama yang akan menerima wang tunai, sijil dan trofi piala pusingan.
Kategori lain ialah Laporan Berita LPT Cemerlang, Penulisan Rencana LPT Cemerlang, Kewartawanan Foto LPT Cemerlang, Berita Televisyen LPT Cemerlang, Dokumentari LPT Cemerlang dan Laporan Rancangan Radio LPT Cemerlang.
Pada majlis sama, Nik Fauzi turut menyampaikan sumbangan dana sebanyak RM5,000 Anih Berhad kepada Kelab Rekreasi dan Kebajikan Media Pahang serta sijil penghargaan kepada bekas ketua-ketua biro media Pahang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor