Majlis Perbandaran Kuantan meminta operator-operator yang dilantik untuk mengendalikan Bazar Ramadan tahun ini menjalankan penyelarasan dan perlaksanaan secara teratur bagi mengelakkan sebarang masalah yang akan timbul.
Yang Dipertua MPK, Datuk Fadzilla Salleh memberitahu, antara operator yang dilantik termasuk Koperasi Kakitangan MPK Berhad (Kospek), Anulae, Persatuan Peniagaan Pasar Lambak Kuantan (PPPLK), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di tujuh buah lokasi terpilih yang sebelum ini di bawah pengurusan MPK.
Menurutnya, sebanyak 1,700 peniaga membabitkan 34 buah lokasi disediakan sepanjang Ramadan nanti dengan tambahan empat lokasi baharu iaitu di Berjaya Permai, Pandan Damai, PSJ Sungai Karang dan Gambang Damai.
“Tahun ini ada sedikit kelainan dengan beberapa operator dilantik untuk mengendalikan bazar selain di bawah kendalian MPK. Cuma saya minta operator dapat menyelaraskan susunan tapak dengan betul dan jelas untuk mengelakkan sebarang masalah.
“Selain itu saya mahukan peniaga-peniaga yang terlibat mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti tiada lagi penggunaan polisterin dan bahan-bahan yang boleh membahayakan pengguna untuk memastikan operasi dapat berjalan lancar,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata sedemikian sempena majlis penyerahan permit perniagaan Bazar Ramadan 2016 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini yang turut menyaksikan taklimat daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (KPDNKK) Pahang dan MPK sendiri.
Dalam pada itu, beliau juga meminta pegawai-pegawai yang terlibat memantau jika penyelewengan membabitkan segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menyewakan permit mereka terhadap orang ketiga dengan caj lebih tinggi.
“Selain itu, saya mahukan peniaga menghormati waktu solat dan berpakaian bersih, sopan serta tidak menjolok mata untuk menjaga kesucian bulan Ramadan nanti,” katanya lagi.
Sementara itu, Fadzilla turut meminta pengunjung supaya peka dengan aspek kebersihan kerana penguatkuasa-penguatkuasa ditempatkan di lokasi bazar dan jika dikesan membuang sampah merata-mata, tindakan akan dikenakan berdasarkan peraturan yang ditetapkan selain memastikan aliran trafik dapat berjalan lancar di beberapa lokasi.
Bagi seorang peniaga kuih-muih tradisional, Noramira Mohd Azaman, 24, memilih untuk menurunkan harga kuih yang dijual iaitu RM2 bagi lima keping kuih-muih berbanding RM3 untuk kuantiti sama sebelum ini.
Namun dia menjelaskan, ia bergantung pada jenis kuih yang akan ditetapkan dan memberitahu sudah menyertai bazar terbabit sejak 10 tahun lalu bersama ahli keluarganya.
Berniaga di empat bazar iaitu di Balok, Beserah, Gambang dan Taman Tas, setiap gerai akan menyediakan 14 jenis kuih-muih tradisional yang disediakan sendiri seperti lompang sekaya, bingka, ondeh-ondeh dan popia bersira.
Sementara bagi Azuraini Ismail, 32 yang sudah berniaga di bazar sejak dua tahun lalu, dia yang akan menjual kuih-muih tradisional di Gambang Permai mengharapkan kemudahan-kemudahan yang disediakan di tapak bazar terbabit dapat memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor