Malaysia memperagakan aksi longlai selepas hanya mampu seri tanpa jaringan menentang barisan muda Myanmar pada perlawanan persahabatan di Stadium Thuwunna, Yangon, malam tadi.
Pada perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen berbayar, anak didik Datuk Ong Kim Swee ternyata gagal memperkemaskan usaha di semua posisi sehingga sukar untuk menembusi benteng pertahanan pasukan lawan.
Kehilangan idea untuk membuka peluang di barisan hadapan serta asakan pasukan tuan rumah yang kebanyakannya terdiri daripada pemain bawah 23 tahun itu menyebabkan skuad negara buntu untuk mencari gol.
Sebaliknya, benteng pertahanan negara diketuai kapten pasukan, Aidil Zaquan Abdul Radzak terpaksa menyerap asakan bertali arus jentera serangan Myanmar sehingga memaksa penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan keluar bagi menepis beberapa percubaan berbahaya pasukan tuan rumah.
Myanmar berjaya berada di hadapan menerusi jaringan pemain gantian, Than Paing pada minit ke-56 namun ia tidak disahkan pengadil, Sivakorn Pu-Udom dari Thailand kerana pemain berkenaan berada pada kedudukan ofsaid.
Skuad Harimau Malaysia akan pulang esok sebelum ke Johor Baharu bagi menghadapi Timor Leste pada dua aksi playoff Piala Asia 2019 pada 2 dan 6 Jun ini di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor