Kuala Terengganu – Seorang guru wanita terkejut apabila ditembak sebanyak dua kali oleh individu tidak dikenali dipercayai menggunakan pistol mainan dalam satu kejadian di Kuala Berang, Hulu Terengganu, di sini Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi di Jalan Paya Besar Kuala Berang ketika guru berusia 38 tahun itu sedang memandu seorang diri untuk ke sekolah.
Menurutnya, guru tersebut cuba memotong sebuah kereta Proton Saga dipercayai dinaiki dua lelaki yang berada di depannya namun gagal kerana datang sebuah motosikal dari arah bertentangan.
“Mangsa kembali memandu di belakang kereta itu. Semasa berada dalam jarak lima meter dari belakang kereta itu, tiba-tiba penumpang hadapan kenderaan terbabit melepaskan satu das tembakan dengan senjata dipercayai menyerupai pistol.
“Terkejut dengan tembakan itu, mangsa kemudian menjarakkan kenderaannya dari Proton Saga berkenaan,” katanya, semalam.
Wan Abd Aziz berkata, selepas beberapa ketika, guru itu mendapati kereta yang sama masih di depannya dan apabila mendekati kereta itu, tiba-tiba penumpang hadapan melepaskan lagi satu das tembakan.
Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa yang tidak tahu motif sebenar suspek bertindak demikian mengambil keputusan menggunakan jalan lain sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang.
Susulan laporan itu katanya, polis melancarkan operasi bagi mengesan suspek dan hasil daripada maklumat diperoleh pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Pertang Permai kira-kira jam 8 malam pada hari sama kejadian.
Hasil serbuan itu, seorang lelaki bekerja sebagai buruh berusia 37 tahun yang merupakan pemilik kepada Proton Saga Iswara yang disyaki terlibat dalam kejadian itu telah ditahan.
“Hasil soal siasat, lelaki itu mengaku memandu kenderaan itu pada jam 6.40 pagi untuk hantar anak lelakinya berusia 8 tahun ke sebuah sekolah rendah tidak jauh dari situ.
“Semasa dalam perjalanan, anaknya yang duduk pada bahagian penumpang hadapan bermain tembak- tembak menggunakan sebuah pistol mainan dan kita telah merampas mainan yang dikenali sebagai pistol mancis.
“Pistol mancis ini dikatakan dibeli di pasar malam di Kuala Berang dengan harga RM8 dan mampu menghasilkan bunyi seumpama pistol selain keluarkan asap,” katanya.
Menurut Wan Abd Aziz, tiada tindakan dikenakan terhadap kanak-kanak tersebut namun pihaknya akan menjalankan pemeriksaan ke atas peniaga pasar malam yang menjual pistol mancis itu dalam masa terdekat.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor