Pages

Sunday, May 1, 2016

[BENTONG] KELINDAN PUTUS PERGELANGAN KAKI


Kelindan putus pergelangan kaki


Seorang kelindan lori putus pergelangan kakinya selepas lori membawa muatan tong gas petroleum cecair (LPG) dinaikinya terbabit kemalangan di Kilometer 53, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah barat, berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian jam 12.19 tengah hari itu, lori terbabit mengalami masalah teknikal pada bahagian stereng.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pemandunya tidak dapat mengawal kenderaan terbabit dan terbabas melanggar tembok batu di sebelah kiri jalan.

“Lori tersebut masih boleh bergerak, namun sebaik kenderaan itu masuk semula ke jalan, pada masa sama datang sebuah kereta jenis Volkswagen Polo dan motosikal Yamaha LC tidak sempat brek lalu melanggarnya," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, kelindan lori terbabit putus pergelangan kaki manakala pemandu lori dan penunggang motosikal cedera ringan.

Katanya, mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Bentong manakala kelindan lori terbabit dirujuk ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu kereta, Lee Wai Kyan, 39, yang bekerja sebagai jurutera tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohamad Mansor berkata, operasi melibatkan anggota Bomba dan Penyelamat Bentong serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor