Pages

Tuesday, May 24, 2016

ANGIN KENCANG, RIBUT LANDA BEBERAPA KAWASAN DI PERLIS


Angin kuat, ribut landa beberapa kawasan di Perlis


Kangar - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Perlis menerima 74 panggilan kecemasan berkaitan ribut yang berlaku sekitar Perlis pada petang tadi.

Kejadian ribut kuat berlaku sekitar jam 2 petang tadi menjejaskan banyak lokasi terutamanya jalan raya.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam dan Dokumentasi, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Mohd Rizuan Abd Gani, banyak kes pokok tumbang di atas jalan raya dilaporkan kerana ianya menggangu lalu lintas.

"Namun begitu pihak JPAM akan memberi keutamaan kepada kawasan yang berisiko.

"Antara kawasan yang dilaporkan berlaku kejadian pokok tumbang disebabkan angin taufan sehingga jam 2.40 petang semalam di Hadapan Hotel Soo Guan Jejawi, Jalan Santan, Jalan Sempering, Jalan Jejawi, dan Jalan Taman Bersatu Arau," katanya.

Dalam kejadian yang sama, khemah yang dipasang sempena sambutan Hari Peladang esok sekitar Stadium Utama Kangar turut musnah diterbangkan angin.

Sementara itu, seorang peniaga ayam goreng Nina Amelia Nasri, 21 berkata ketika kejadian ribut dia sedang berniaga ditepi jalan di Taman Bersatu Arau.

"Masa tu lebih kurang jam 2 petang saya dengar angin sangat kuat dan saya rasa sangat takut bila tengok pokok-pokok dihadapan kedai seperti nak tumbang.

"Ranting-ranting kecil dari pokok jatuh atas bumbung kedai. Saya rasa takut dan terus lari ke bangunan belakang kedai saya.

"Sejurus selepas itu, pokok dihadapan kedai terus tumbang di atas jalan raya," katanya.

"Saya bersyukur sangat sebab pokok tu tak tumbang atas kedai dan saya selamat.

Sementara itu, seorang lagi mangsa ribut Juwita Ahmad, 37, berkata ketika kejadian dia sedang memandu di sekitar jalan Jejawi.

"Perasaan saya pada ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Ranting-ranting pokok berterbangan dan ada yang menimpa kereta saya.

"Saya cekalkan hati memandu hingga tiba di kawasan bangunan yang tiada pokok dan tunggu hingga angin reda sebelum pulang ke rumah," katanya.

Tambah Juwita, ini adalah pengalaman pertamanya berhadapan dengan angin kuat seperti itu.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor