Pages

Wednesday, May 25, 2016

ALLAHYARHAM AHMAD SOBRI DINAIKKAN PANGKAT


Helikopter


Kuala Terengganu - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menaikkan pangkat Koperal secara 'posthumous' atau anumerta kepada Lans Koperal Ahmad Sobri Harun yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Allahyarham Ahmad Sobri, 26, ialah pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang turut terkorban dalam nahas itu. 

Anugerah kenaikan pangkat tersebut disampaikan oleh Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah kepada bapanya Harun Muda.

Zulkifli berkata kenaikan pangkat secara 'posthumous' itu turut membolehkan warisnya menerima wang pencen lebih tinggi. 

Katanya, PDRM juga menyerahkan bantuan dari Tabung Koperasi Polis, Tabung Amanah Perwira Pertahan Negara, Tabung Kebajikan Polis dan Khirat Kematian berjumlah RM96,000. 

Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas majilis anugerah kenaikan pangkat kepada keluarga mangsa di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman dan Pengerusi Koperasi PDRM, Datuk Sri Syed Ismail Syed Azizan.

Zulkifli berkata pihaknya juga sedang menguruskan bantuan yang lain untuk diserahkan kepada keluarga mangsa dalam masa terdekat.

Ahmad Sobri, yang masih bujang, berkhidmat di Unit Cawangan Pengawal Pengiring Bukit Aman selepas pengawal peribadi sejak tiga tahun lalu.

Allahyarham tamat latihan polis pada 28 Disember 2012. 

Turut terkorban dalam nahas helikopter itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Sementara itu, Harun melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kepimpinan PDRM dengan pemberian pangkat dan bantuan itu.

"Walaupun dia telah tiada kami berbangga dia pergi ketika menjalankan tugas dan berkhidmat untuk negara, "katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor