Pages

Monday, May 23, 2016

6 MAUT AKIBAT LETUSAN GUNUNG BERAPI SINABUNG


6 maut akibat letusan gunung berapi Sinabung


Jakarta – Enam orang disahkan maut manakala tiga lagi dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat terkena debu panas gunung berapi Sinabung di daerah Karo, Sumatera Utara yang meletus sejak semalam.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Manusia Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataan media berkata, kesemua mangsa adalah penduduk tempatan.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Efarina Etaham Kabanjahe di Karo.

Sutopo berkata, Gunung Sinabung meletus sambil memuntahkan debu panas kira-kira jam 5 petang semalam dan pasukan mencari dan menyelamat masih menjalankan operasi bagi mengesan mangsa lain di kawasan Kampung Gamber di daerah itu.

Katanya, pihak berkuasa telahpun mengeluarkan amaran zon merah di kampung berkenaan dan penduduk dilarang menghampiri kawasan itu tetapi masih terdapat penduduk yang memasuki kampung tersebut bagi tujuan aktiviti perladangan.

"Alasan ekonomi adalah faktor utama yang menyebabkan masyarakat Desa Gamber tetap nekad melanggar larangan masuk ke kampung mereka," katanya.

Gunung berapi setinggi 2,460 meter itu adalah antara yang paling aktif di Indonesia dan pada 2014 beberapa penduduk terbunuh dan beribu-ribu yang lain dipindahkan akibat letusan gunung berapi itu.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor