Pages

Wednesday, April 20, 2016

[RAUB] PARAS AIR TASIK SURUT MENDADAK


Paras air tasik surut mendadak


Empangan Kelau, di sini turut menerima kesan daripada cuaca panas susulan fenomena El Nino yang melanda negara apabila paras airnya surut dengan mendadak.

Tinjauan Sinar Harian di empangan itu mendapati terdapat kesan ketara menunjukkan penurunan paras air di empangan itu.

Penduduk, Ahmad Ismail, 60, berkata, paras air yang semakin surut di kawasan berkenaan dianggap paling buruk pernah berlaku, berbanding awal tahun lalu.

Menurutnya, paras air mula surut sejak Januari dan semakin berkurangan apabila cuaca semakin panas sejak Februari lalu.

“Saya terkejut tengok air tasik ni surut sampai macam tu sekali. Ini kali pertama berlaku sejak dibuka tahun lalu.

"Malah, keadaan paras air bertambah buruk masa Mac baru-baru ni. Apa tidaknya dalam tahun ni, baru dua kali hujan... itu pun sekejap je, tak sampai 15 minit," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, paras air akan terus menyusut dan empangan akan terjejas sekiranya cuaca panas berterusan tanpa hujan.

Sementara itu, kaki pancing, Raja Saadun Raja Yaakub, 57, berkata, cuaca panas pada tahun ini menyebabkan air tasik itu surut mendadak.

Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan beberapa kawasan tasik kering hingga menampakkan permukaan tanah yang sebelum ini boleh dilalui bot pemancing dan juga bot Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang sering melakukan latihannya di situ.

"Sejak tasik ni kering, pokok mati yang ada dalam tasik ini juga sudah mula nampak... kalau dulu tak nampak sebab tenggelam dek air.

“Kaki pancing selalu jadikan tasik ni tempat memancing tak kira masa sejak ia dibuka tahun lalu... kawasan ni banyak ikan dan jadi sumber pendapatan kaki pancing," katanya.

Bagaimanapun katanya, empangan yang semakin surut itu tidak menjejaskan aktiviti kaki pancing dan hasil tangkapan mereka.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor