
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru golongan asnaf di negeri ini terlibat dalam bidang keusahawanan dengan menyertai program-program latihan dan keusahawanan di Unit Pembangunan Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bagi meningkatkan pendapatan.
Baginda bertitah, dalam merebut dan memantapkan budaya berniaga ini, golongan asnaf harus mengambil peluang dan ruang yang disediakan oleh Muip.
“Melalui keusahawanan ini turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat. Ini selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang boleh menyediakan peluang pekerjaan.
“Bidang usahawan adalah satu profesion yang harus direbut dan dijadikan sebagai satu teras untuk mereka berjaya dalam hidup dan dapat meningkatkan taraf hidup mereka,” titah baginda sempena Majlis Perasmian Bangunan Pejabat Muip Cawangan Daerah Raub di sini, semalam.
Baginda bertitah, produk-produk keluaran golongan asnaf akan dipasarkan di Pasaraya Darul Makmur yang dimiliki oleh Muip sendiri.
Baginda turut bertitah supaya Muip mempertingkatkan lagi produk-produk golongan asnaf bagi membantu mereka meningkatkan punca pendapatan.
“Kita harus menggalakkan kecenderungan mereka ke arah itu di samping memberi panduan memilih perniagaan yang dapat menepati kehendak pasaran semasa,” katanya
Dalam pada itu titahnya, dengan terbinanya pejabat rasmi Muip itu dapat menjimatkan masa pelanggan kerana mereka tidak perlu lagi ke Pekan untuk membuat urusan dengan Muip.
Titah baginda, penduduk Raub amat bertuah kerana ini merupakan kali pertama Muip dan Pusat Zakat digabungkan di bawah satu bumbung.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Muip kerana berjaya mendapat pengiktirafan lima bintang selepas diaudit oleh Jabatan Audit Negara baru-baru ini.
“Terus beri perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dalam membantu mereka selesaikan masalah,” titahnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor