Pages

Sunday, April 3, 2016

PERLU TAMBAHAN MESIN DIALISIS, JURURAWAT TERLATIH


Perlu tambahan mesin dialisis, jururawat terlatih


Batu Rakit – Seramai 125 pesakit buah pinggang baharu di seluruh negeri dikenal pasti sedang menunggu giliran untuk menjalani rawatan dialisis berikutan kekurangan jururawat serta peralatan, terutamanya mesin dialisis.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ketika ini terdapat seramai 1,366 pesakit sedang menjalani rawatan di 22 pusat hemodialisis termasuk sembilan pusat milik kerajaan.

“Selain berdepan masalah mesin dialisis tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit buah pinggang yang kian bertambah dari sehari ke sehari, kita juga kekurangan jururawat terlatih.

"Bagi merawat pesakit buah pinggang, kita perlu jururawat terlatih kerana proses rawatan penyakit ini rumit dan memerlukan kemahiran. Jadi ketika ini kita anggarkan seramai 100 jururawat terlatih baharu diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Hemodialisis 1Malaysia Kampung Maras dan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri 2016 di Kampung Maras, di sini.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan sentiasa komited dalam usaha membantu memenuhi keperluan mendesak bagi mengendalikan pesakit-pesakit kronik.

Tambahnya, kerajaan negeri juga merancang untuk menubuhkan pasukan sukarelawan perubatan membabitkan doktor dan jururawat lepasan universiti untuk turut serta dalam aktiviti amal.

"Kita buka peluang kepada graduan dalam bidang perubatan termasuk doktor dan jururawat untuk turut serta dalam kegiatan sukarelawan bagi membantu pesakit buah pinggang yang menunjukkan rekod agak membimbangkan pada masa kini," katanya.

Sementara itu, pesakit buah pinggang, Mazlan Jaafar, 51, dari Mengabang Lekar, Batu Rakit, menganggap pembukaan pusat hemodialisis di Kampung Maras sebagai hadiah kepada mereka yang senasib dengannya.

Menurutnya yang sudah tiga tahun menderitai penyakit buah pinggang, sebelum ini dia terpaksa menggunakan perkhidmatan kereta sewa untuk berulang alik ke Hospital Setiu bagi menjalani rawatan.

"Syukur tidak terhingga kerana selepas ini, saya tak perlu jalan jauh dan keluarkan kos tinggi untuk dapat rawatan hemodialisis," katanya bapa kepada tiga anak yang juga bekas tukang masak di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Merang, Setiu.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor