Pages

Friday, April 22, 2016

PEMANTAPAN AKIDAH PERLU DIBERI PERHATIAN BERSAMA


Dr Asyraf Wajdi Dusuki


Kuala Lumpur - Isu pemantapan akidah Ahli Sunmah Wal Jamaah sememangnya perlu diberikan penelitian dari semasa ke semasa, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau, agenda bagi menangani pemesongan akidah, ajaran sesat atau fahaman yang boleh mengancam akidah harus dilakukan oleh semua pihak dan bukannya hanya melibatkan pemerintah sahaja bahkan turut membabitkan badan bukan kerajaan(NGO), ahli akademik dan cendekiawan.

"Ini adalah perkara yang perlu kita semarakkan supaya tanggungjawab mempertahankan agama ini menjadi tanggungjawab semua, dan bukannya pemerintah semata mata," katanya selepas merasmikan Majlis Seminar Antarabangsa Gerakan Syiah dan Kesannya Terhadap Dunia Islam yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) semalam.

Menurut Asyraf, sekiranya setiap pihak hanya menunding jari antara satu sama lain, masalah berkaitan akidah tidak akan selesai malah akan menemui kelompongan dan kelemahan.

Ujar beliau, masyarakat kini berada di dunia tanpa sempadan dan kaedah bagi menangani permasalahan ini seharusnya dilaksanakan secara sinergi ataupun bersama.

"Kita tidak boleh melakukan secara silo(bersendirian). Kita harus bersifat permuafakatan dan bekerjasama dalam menangani hal ini,"katanya.

Dalam pada itu, Asyraf memaklumkan bahawa negara ini mempunyai jawatankuasa di bawah Majlis Hal Ehwal Agama Islam yang bertindak untuk menyelaras kurikulim pengajian Islam bertujuan bagi memastikan ia dapat dibangunkan dari masa ke semasa bagi memenuhi keperluan serta kepentingan perubahan zaman yang bersifat dinamik.

Tambah beliau, namun begitu, asas pembangunan kurikulum tersebut tidak lari daripada al-Quran dan sunnah.

"Begitu juga di peringkat Kementerian Pendidikan, kita ada bahagian pendidikan Islam, ada bahagian buku teks dan bahagian yang melihat soal kurikulum pengajian Islam ini dari masa ke masa yang akan diteliti dan dinilai," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor