
Sitiawan – “Makan kat kedai tepi jalan tapi harga macam kat hotel lima bintang! Kerajaan Negeri Perak perlu pantau peniaga kedai makanan lautdi Pulau Pangkor yang cekik darah pelancong.”
Itu mesej yang diterima daripada pembaca Sinar Harian melalui aplikasi WhatsApp kerana tidak berpuas hati harga makanan laut yang disifatkan bukan sahaja mahal, malah keterlaluan.
Sinar Harian kemudiannya, menghubungi pembaca tersebut untuk mengetahui dengan lebih jelas isu itu.
Pembaca yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Zali berkata, beliau tidak puas hati kerana dikenakan harga yang mahal ketika makan di Teluk Nipah, di Pulau Pangkor, baru-baru ini.
“Harga makanan laut di pulau itu sepatutnya tidak mahal. Banyak hasil laut boleh diperoleh daripada nelayan di sekitar pulau itu.
"Kalau nak letak harga pun janganlah melampau sampai menekan pelanggan,” katanya.
Lagi satu hal kata Abang Zali, lain hari lain pula harga makanan di Teluk Nipah itu.
Katanya, harga makanan melambung pada Jumaat hingga Ahad kerana pulau itu dikunjungi pelancong luar.
"Jika tindakan tidak diambil, sudah tentu akan merosakkan imej Pulau Pangkor kepada pelancong luar. Bukan semua peniaga yang bertindak mengenakan harga mahal. Sebab nila setitik, habis rosak susu sebelanga,” katanya.
Abang Zali berkata, insiden itu berlaku beberapa minggu lalu ketika beliau membawa tiga rakan memancing di pulau pelancongan itu dan menginap di salah sebuah resort di Teluk Nipah.
Pada sebelah malam, katanya, mereka makan di salah sebuah kedai makanan laut yang terdapat berhampiran dengan chalet mereka, di tepi pantai.
Abang Zali mendakwa, mereka dikenakan bayaran lebih RM400 untuk makanan yang dipesannya termasuk ikan siakap, ikan pari, sotong, udang, telur, sayur kailan dan tomyam.
“Saya ingat apabila makan di atas pulau, tentu harga makanannya lautnya lebih murah kerana ikan mudah diperolehi. Makanan memang sedap tapi servisnya lambat. Lebih 30 minit menunggu.
“Bila dapat bil, berpeluh juga nak membayarnya. Maknanya harga makan seorang hampir RM100,” katanya.
Berdasarkan rungutan Abang Zali itu, wartawan Sinar Harian dan beberapa rakan mengunjungi Pulau Pangkor Khamis lalu untuk mengetahui apakah benar atau tidak dakwaan harga makanan laut mahal di pulau itu.
Kami mencuba salah sebuah kedai makanan laut yang terdapat di Teluk Nipah, cuma membayar RM250 berdasarkan pakej yang disediakan dengan tambahan ikan jenahak dan ikan daun baru serta beberapa minuman panas.
Memang berbaloi makan pada hari Khamis tetapi di kedai yang sama, harga makanan sudah jauh berbeza pada hari Jumaat.
Jika pada hari Khamis, harga ikan siap masak misalnya ikan pari RM15 seekor, tetapi pada hari Jumaat naik menjadi RM25 untuk saiz yang hampir sama.
Harga ikan lain pun naik antara RM8 hingga RM12!
Malah ada peniaga yang meletakkan harga dua kali ganda daripada harga yang diletakkan pada menu terutama pada hujung minggu, sehingga menyebabkan ada pengunjung yang terkena.
Sementara itu seorang penduduk yang enggan identitinya didedahkan berkata, masalah harga makanan di Teluk Nipah jika tidak dipantau akan menyebabkan pelancong mengatakan semua peniaga di cekik darah.
“Apa yang pasti, harga makanan laut yang dikenakan oleh satu dua kedai makanan laut di sini memang mahal. Kadang-kadang tidak masuk akal harganya, malah berbeza-beza pula harganya mengikut hari,” katanya.
Katanya, beliau bimbang sekiranya perkara ini tidak dipantau dan dikawal akan menjadi ikutan kepada peniaga lain.
Sementara rakannya yang dikenali sebagai Ariffin berkata, pernah ada sekumpulan pelajar kolej yang tidak mampu membayar harga makanan sehingga terpaksa meletakkan telefon bimbit mereka sebagai cagaran.
“Masalah ini pernah diajukan kepada Majlis Daerah Manjung tetapi setakat ini tiada tindakan yang diambil. Jika seorang dua yang buat, sudah pasti yang lain akan ikut. Tambahan pula tiada apa-apa tindakan,” katanya.
Beliau berkata, bukan semua peniaga kedai makan cekik darah di pulau itu tetapi tindakan segelintir hanya akan mencemarkan nama baik Pulau Pangkor.
Wartawan Sinar Harian akan mendapatkan komen Majlis Daerah Manjung dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenai dakwaan harga makanan mahal di Pulau Pangkor ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor