
Kota Bharu - Keadaan kesihatan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sangat baik hari ini selepas menjalani pembedahan kecil akibat pendarahan di bahagian kepalanya, semalam.
Setiausaha Akhbarnya Mohd Asri Mat Daud berkata, Ahmad masih menerima rawatan susulan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.
"Beliau sempat berpesan kepada saya tadi agar seluruh rakyat negeri Kelantan dapat menjaga kesihatan khasnya pada cuaca yang semakin panas ketika ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Asri berkata, Ahmad turut mengharapkan agar solat sunat Istisqa' yang bakal diadakan di Padang Hoki bersebelahan Padang Perdana di sini pada 22 April ini dapat dihadiri oleh semua rakyat bagi memohon kepada Allah agar diturunkan kerahmatanNya secara berpanjangan.
"Walaupun menteri besar masih lagi berada di wad HUSM untuk rawatan susulan, namun beliau tetap mengambil tahu situasi rakyat dan turut menyampaikan salam kepada semua," katanya.
Buat masa ini, pihak Pejabat Menteri Besar Kelantan mengharapkan agar tiada sebarang ziarah dibuat bagi memberi kerehatan sepenuhnya kepada Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas.
Ahmad dimasukkan ke HUSM pada Rabu lepas setelah rasa sakit di bahagian kepala sejak seminggu lalu dan pihak hospital memaklumkan terdapat darah beku di kepalanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor