
Seorang wanita yang berniaga ikan sangkar memohon bantuan mendapatkan sebuah tangki kaca bagi mengekalkan lagi kualiti dan kesegaran ikan yang dijual.
Norelan Arifin, 50, berkata, dia memulakan perniagaannya itu sejak suaminya, Amir Arifin, 60, menghidap penyakit buah pinggang kronik lima tahun lalu bagi menampung perbelanjaan keluarga dan lima dari lapan anaknya yang sedang belajar.
Menurutnya, tangki kaca itu diperlukan bagi mengurangkan risiko kerugian akibat ikan mati.
“Sebelum ni saya ada buat pinjaman dan jadi sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia untuk tambah produk jualan.
“Tapi wang pinjaman tak cukup untuk saya baik pulih tong ikan. Saya harap tong ikan ini dapat digantikan dengan tangki kaca (akuarium besar),” katanya.
Melalui perniagaan ikan sangkar itu, Norelan memperolehi pendapatan sekitar RM30 hingga RM60 sehari bergantung kepada permintaan.
Dia juga pernah meraih pendapatan sekitar RM80 hingga RM100 sehari terutama ketika musim cuti sekolah atau menerima tempahan majlis.
Namun katanya, semua pendapatan itu digunakan untuk tampung kos anak-anak yang masih bersekolah.
Walaupun ada anak-anak yang sudah berkahwin dan bekerja tetapi Norelan tidak mengharapkan balasan kerana masing-masing ada tanggungjawab yang perlu dipikul.
“Untuk rawatan dan ubat-ubatan suami pula, saya gunakan duit pencen suami, sebab dia pesara guru. Sakit buah pinggang kena buat rawatan dialisis, semuanya perlu duit,” katanya.
Meski dihimpit pelbagai dugaan, Norelan cekalkan hati berdikari mencari pendapatan demi kelangsungan hidup keluarganya.
“Kalau saya tak berniaga, siapa lagi nak buat...macam mana saya nak tampung persekolahan anak-anak saya?
“Saya harap sangat jika ada yang sudi bantu saya dapatkan tangki kaca untuk letakkan ikan saya ini. Itu sahaja yang saya harapkan buat masa ini,” katanya.
Bagi orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Norelan boleh menghubunginya di talian 014-8187496.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor