Pages

Saturday, April 2, 2016

DUA ANAK DIUJI MASALAH KESIHATAN


Dua anak diuji masalah kesihatan


Sabak Bernam – Sepasang suami isteri berdepan ujian getir apabila dua anak mereka iaitu, Nur Iman Najiha Muhammad Shahrin, berusia lima bulan disahkan menghidap penyakit sawan tarik, manakala Muhammad Aiman Fahmi, 2, pula mengalami keradangan usus.

Ibu kanak-kanak malang itu, Nurul Syahirah Zulnaidi, 24, berkata, anak keduanya itu pada mulanya dilahirkan secara normal di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam, bagaimanapun diserang sawan pada hari kedua selepas dilahirkan.

“Tiba-tiba Nur Iman diserang sawan ketika di rumah. Tangan dan kakinya kejang manakala anak mata hitam naik ke atas sampai tak nampak.

“Mulanya, saya ingatkan dia rasa gayat atau takut, tapi keadaan sama berlaku beberapa kali,” katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Syahirah yang menetap di Kampung Tebuk Marso, Sungai Besar, berkata, dia bersama suami kemudiannya membawa Nur Iman ke HTAJ untuk mendapatkan rawatan.

“Petang tu juga saya bawa anak ke hospital. Bila sampai di sana, hospital rujuk kes anak saya ke Hospital Teluk Intan (HTI) dan dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Dia yang menumpang di rumah mertuanya itu sejak berkahwin berkata, anaknya yang dirawat di hospital itu kemudiannya diasingkan selepas dia disahkan menghidap demam campak.

“Walaupun duduk wad asing, tapi sesekali saya jenguk anak untuk menyusukannya dan tak sangka dia (Nur Iman) hidap demam campak seminggu selepas itu.

“Doktor beritahu, kuman dah menjangkiti bahagian otak anak. Kemungkinan risiko cacat seumur hidup seperti tak nampak (hilang penglihatan) dan cacat fizikal,” katanya.

Nurul Syahirah memberitahu, anak perempuannya itu perlu ke HTI setiap bulan untuk pemantauan dan pemeriksaan doktor pakar, selain memerlukan penjagaan rapi memastikan suhu badannya stabil.

“Kalau ikutkan umur, dia dah pandai meniarap, tapi dia hanya mampu terbaring sahaja. Pergerakan jari tangannya pun terbatas kerana jarinya asyik menggenggam,” katanya.

Lebih sayu, katanya, anaknya turut berkemungkinan buta kerana apabila digerakkan tapak tangan atau objek di hadapannya, tiada tindak balas diberikan.

Dalam pada itu, Nurul Syahirah memberitahu, fizikal Muhammad Aiman Fahmi nampak sihat namun anaknya itu menghidap keradangan usus besar.

“Kena jaga pemakanan dia. Tidak boleh makan sembarangan macam susu lembu, makanan laut; ketam dan udang... kalau tak, dia akan muntah-muntah dan cirit-birit. Badannya pun jadi lemah”, katanya.

Sementara itu, suaminya, Muhammad Shahrin Alang, 38, berkata, setiap bulan dia terpaksa menyewa kereta kira-kira RM150 untuk ke HTI bagi mendapatkan rawatan dan mengambil ubat kedua-dua anaknya.

Katanya, dia yang hanya bekerja sendiri seperti mengambil upah bertukang, memetik buah sawit dan sesekali turun ke laut dengan pendapatan kira-kira RM 600 sebulan.

Selain perbelanjaan sewa kenderaan ke HTI, dia juga terpaksa menanggung kos ulang-alik Nur Iman Najiha yang perlu menjalankan rawatan fisiologi di HTAJ dan akan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjumpa doktor pakar saraf otak 18 April ini.

“Kami cuma ada motosikal, wang memang tak cukup. Dengan pendapatan saya tak seberapa, isteri pula terpaksa berhenti kerja sejak lahirkan anak pertama, kadang-kadang kami terpaksa tebalkan muka pinjam duit daripada kawan-kawan.

“Hutang dengan kawan pun dah cecah RM500. Malah, bayaran kos rawatan di HTI kira-kira RM325 pun masih belum berbayar,” luah Muhammad Shahrin.

Orang ramai, NGO atau badan korporat yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam Nurul Syahirah Zulnaidi: 12056022734446.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, Muhammad Shahrin telah menghantar permohonan bantuan zakat kepada pihaknya Februari lalu.

“Hasil semakan mendapati permohonan bantuan perubatan diluluskan pada 22 Mac lalu dan berikutan itu LZS akan menyalurkan bantuan zakat bagi menampung kos ulang-alik ke hospital sebanyak RM250 sebulan bermula Mac hingga Disember tahun ini.

“Bantuan ini bawah peruntukan asnaf gharimin. Kita harap bantuan yang dihulurkan dapat meringankan beban keluarga ini untuk mendapatkan rawatan anak mereka,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor