
Muar - Masalah ketagihan kini dilihat tidak lagi sinonim dikaitkan dengan najis dadah dan rokok semata-mata, namun turut dikaitkan dengan pelbagai aspek lain yang dilihat boleh mengundang masalah.
Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, ketagihan terhadap media sosial antara lainnya, yang dilihat kini menjadi kebimbangan utama kerana ia juga mampu membawa pelbagai pengaruh dalam kelompok masyarakat.
"Kesan daripada ketagihan media sosial ini boleh menghakis budaya dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
"Sebagai contoh, kiriman kad raya yang dahulunya merupakan simbolik kepada perayaan kini terhakis penggunaannya, kerana masyarakat menggunakan media sosial sebagai cara yang lebih pantas dan jimat," katanya sewaktu berucap pada Program Ramah Santai Bersama Penduduk dan Persatuan Pangkalan Nelayan Sungai Balang di Jeti Nelayan Sungai Balang, di sini, kelmarin.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, seiring kepesatan teknologi dan gaya hidup semakin maju, minda serta perilaku masyarakat juga berubah.
"Kita bimbang ketagihan media sosial menjadikan lebih banyak lagi budaya akan terhakis dan dilupakan. Selain melupuskan budaya, ketagihan media sosial ini juga berupaya menyebarkan amalan negatif seperti penularan berita palsu," katanya.
Beliau berkata, pelbagai berita tidak jelas kesahihannya disebarkan dengan begitu mudah melalui media sosial pada hari ini.
Menurutnya, masyarakat hari ini lebih banyak meluang masa di laman sosial, ditambah pula kecanggihan peranti dan gajet menjadikan mesej mampu disampaikan secara pantas, sekali gus menjadi platform pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah.
"Malah ada juga individu yang sanggup menggunakan media sosial untuk memburukkan individu dan menghasut pihak tertentu. Ini yang menjadi kebimbangan kita pada hari ini.
"Pengaruh media sosial juga telah menjadikan sikap saling hormat-menghormati kini hilang dalam masyarakat. Justeru, kita perlu kembali kepada asas budaya, bagi memastikan perpaduan dipupuk sejak sekian lama terus utuh pada masa depan.
"Kita bimbang, sekiranya tiada langkah diambil, ketagihan media sosial ini akan membawa lebih banyak implikasi buruk berbanding kebaikannya nanti," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor