Kuala Lumpur - Tohmahan negatif yang dilemparkan oleh media luar tidak akan menghalang sentimen pelabur asing, sekali gus tidak akan menjejaskan pengaliran kemasukan pelaburan asing ke dalam negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Sebenarnya yang penting ialah fakta pencapaian negara (di mana) pelaburan asing semakin mengalir ke dalam negara, (dan) pencapaian ekonomi Malaysia juga antara yang tertinggi di dunia.
"Maknanya, isu-isu yang diuar-uarkan (oleh pihak media luar) adalah secara tersusun atau 'orchestrated'," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) berhubung tindakan dalam menangani persepsi negatif media seluruh dunia yang menumpukan isu domestik negara termasuk 1Malaysia Development Bhd dan RM2.6 billion, yang didakwa memberi kesan kepada pelabur asing.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata penyelesaian bagi isu-isu yang berbangkit akan didedahkan, dan proses tersebut diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan pihak-pihak lain yang berkenaan.
"Jadi, tiada apa-apa yang patut dirisaukan kerana proses akauntabiliti akan tetap dijalankan bagi negara kita," katanya.
Dalam pada itu, Najib juga berkata Malaysia, yang merupakan antara negara perdagangan yang tertinggi di dunia, mempunyai kedudukan yang amat startegik dalam rangka perdagangan dunia dan serantau.
Penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Trans-Pasifik serta Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang lain seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menguntungkan negara terutama dari aspek meningkatkan jumlah perdagangan luar negara.
RCEP adalah antara perjanjian perdagangan bebas utama yang sedang dirundingkan oleh 10 negara anggota ASEAN dan rakan-rakan enam FTA yang lain -- Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.
Jumlah dagangan luar Malaysia mencapai 170 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Najib berkata, Malaysia merupakan antara negara pelabur utama dalam kalangan Asean dengan syarikat tempatan melabur secara meluas dalam bidang perbankan, perladangan, perhotelan dan pelancongan, industri penerbangan, sektor perkilangan, utiliti dan infrastruktur.
Beliau berkata integrasi ekonomi Asean bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia, malah negara anggota yang lain.
"Malaysia berhasrat untuk melihat Asean menjadi sebuah rantau yang maju dan berpendapatan tinggi per kapita, kualiti hidup yang tinggi, serta keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan di rantau ini.
"Langkah-langkah ini secara tidak langsung akan membantu Malaysia dan Asean untuk menangani krisis ketidaktentuan ekonomi," kata Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor