Polis berjaya menggagalkan cubaan dua lelaki mengedar dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM100,000 di daerah ini apabila menahan mereka yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 04, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, suspek yang berusia 30 dan 37 tahun itu ditahan dalam serbuan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang dekat sini pada pukul 2.30 pagi.
"Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 503.09 gram bernilai kira-kira RM100,000 dan mereka dipercayai membawa dadah berkenaan bagi pasaran di daerah ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Anuar berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta Proton Iswara Aeroback yang dinaiki mereka, polis menjumpai dadah itu dalam satu paket plastik lutsinar yang disorok di bawah tempat letak kaki pemandu.
"Hasil soal siasat, mereka menyatakan hanya mengambil upah menghantar barangan tersebut ke Temerloh daripada seorang lelaki di Kuala Lumpur. Salah seorang daripada suspek ini mempunyai rekod jenayah curi," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berasal dari Perak itu ditahan reman sehingga Sabtu ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan lain, Anuar berkata sembilan wanita warga asing yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan dalam serbuan di sebuah pusat urut tradisional di Taman Chengal Temerloh, kelmarin.
Katanya hasil pemeriksaan di premis itu polis menemui wanita berumur antara 24 dan 40 tahun iaitu masing-masing satu dari Laos dan Thailand manakala tujuh lagi dari Vietnam yang kesemuanya mempunyai pasport dan pas lawatan sosial.
"Polis turut menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan penjaga premis yang turut disyaki menjalankan aktiviti berorientasikan seks itu," katanya.
Beliau berkata, mereka diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 kerana disyaki menjadi mangsa untuk dieksploitasi bagi tujuan akviti seks.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor