Bandaraya Melaka - Pemerhati dan pencinta burung dari beberapa negara luar dijangka akan berada di Tanjung Tuan hujung minggu hadapan bagi menyertai acara Raptor Watch 2016.
Selain itu, lebih 20,000 ahli Kelab Pencinta Alam sekolah-sekolah Melaka dan Negeri Sembilan turut dijangka akan berhimpun sama bagi menyaksikan perasmian acara tahunan berkenaan.
Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad berkata, antara pemerhati burung yang dijangka turut serta termasuk dari Taiwan, Jepun, China, Singapura, United Kingdom, Hong Kong dan Thailand.
Menurutnya, acara Raptor Watch kali ini adalah merupakan kali ke-17 ia diadakan sejak ia mula dianjurkan pada 2001.
“Mengikut rekod pemantauan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) tahun lalu, sebanyak 55,354 ekor burung pemangsa telah singgah di kawasan sekitar Tanjung Tuan, meningkat dari 43,315 pada tahun sebelumnya.
“Ini merupakan satu fenomena cukup menakjubkan sehingga ia menjadi kawasan Tanjung Tuan satu destinasi yang begitu popular dalam kalangan pecinta burung tempatan dan antarabangsa,” katanya di sini.
Menurut Ghazale, selain membolehkan orang ramai menyaksikan sendiri ribuan burung pemangsa di udara Tanjung Tuan, penganjuran acara berkenaan juga boleh menjadi platform untuk menyemai rasa cinta pada alam semula jadi.
“Inilah satu sebab mengapa Raptor Watch kali ini akan turut membabitkan ahli Kelab Pencinta Alam sekolah-sekolah dalam usaha kerajaan negeri mendidik mereka mengenai kepentingan khazanah alam semula jadi.
“Di pihak kerajaan negeri pula, kita akan sentiasa mempromosikan acara Raptor Watch ini kerana ia ternyata berupaya menjadi tarikan utama pelancong ke Melaka, khususnya dalam sektor pelancongan alam semula jadi,” katanya.
Tanjung Tuan merupakan persinggahan tahunan ribuan burung pemangsa yang sedang dalam penghijrahan ke habitat semula jadi mereka di hemisfera utara.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor