Pages

Wednesday, March 9, 2016

MEMBUAT KEPUTUSAN UNTUK ORANG LAIN


NORDEN MOHAMED


Tatkala di usia 20an, saya pernah menjadi ejen di sebuah syarikat jualan langsung antarabangsa. Saya sertai syarikat itu setelah mendengar penerangan dan impian yang dibentang oleh rakan sepejabat yang kemudiannya menjadi penaja saya.

Pada mulanya saya sertainya semata-mata kerana ingin memperoleh tambahan pendapatan. Cukup selesa jika dapat tambahan pendapat sekitar dua tiga ratus ringgit sebulan. Sebagai orang bujang, tambahan pendapatan melebihi RM100 pada tahun 80an pun dikira banyak juga. Tiket wayang pun RM4 ketika itu. Makanan ringan seperti ayam goreng pun tidak melebihi RM5 untuk satu set hidangan. Setelah saya menghadiri mesyuarat-mesyuaratnya, saya semakin berminat untuk terus melabur masa, tenaga dan wang ringgit ‘untuk masa depan saya.’

Bagaimana pun, saya lembab dalam mengajak kenalan dan saudara mara saya menyertainya. Setelah sebulan, saya hanya mampu mengajak dua orang. Sedangkan orang lain di dalam kumpulan saya secara puratanya dapat membawa empat orang kenalan menyertai perniagaan masing-masing.

Suatu hari, upline saya bertanya mengapa saya tidak dapat mengajak ramai rakan dan taulan menyertainya sedangkan saya punyai ramai kenalan. Jawapan saya, mereka nampaknya tiada masa dan tidak berminat menyertai perniagaan saya. Lantas upline dan mentor saya berkata, sebab utama kegagalan saya ialah kerana saya telah membuat keputusan untuk orang lain.

Apa maksud ‘membuat keputusan untuk orang lain?’ Beliau menerangkan, saya sebenarnya telah membuat keputusan untuk mereka bahawa mereka tidak berminat. Bagaimana saya boleh tahu, sedangkan saya belum pun membuka mulut memperkenalkan perniagaan saya? Jika saya memperkenalkan perniagaan saya, barangkali akan ada yang berminat kerana semua orang pada dasarnya inginkan pendapatan tambahan dan mencuba sesuatu yang baharu. Jika saya tidak membuka jalan, bagaimana saya boleh kata mereka sudah menolaknya? Ertinya, saya sudah berkata ‘tidak’ sebelum mencuba.

Kata-kata itu menyentap dan masuk ke dalam fikiran saya. Ya. Saya tidak boleh mempunyai andaian bahawa seseorang itu akan setuju ataupun tidak setuju dengan apa yang saya akan sarankan selagi saya belum memberi penerangan kepadanya terhadap sesuatu yang saya ingin sarankan.

Dari semasa ke semasa, kita kerap berada dalam situasi di mana kita seolah-olah sudah tahu jawapan seseorang sedangkan kita belum pun bertanya kepadanya. Bagaimana boleh begitu? Mengapa kita judgemental atau memberi jawapan ‘setuju’ atau ‘tidak’ meskipun persoalan belum dilontar?

Banyak keadaan dan ketika di mana kita punyai masalah kerana kita tidak bertanya, tidak menerangkan mahupun tidak mengkhabarkan sesuatu kepada seseorang. Andainya si suami tidak mahu menerangkan kepada isterinya akan penyakit kronik yang dihidapinya semata-mata kerana khuatir isterinya akan meraung, dia akan mendiamkannya sehingga keadaan sebegitu genting dan isterinya benar-benar meraung mendengarnya.

Andainya seorang ketua tidak memberitahu kepada stafnya akan tindakan yang akan dihadapi seandainya selalu lewat menyiapkan tugas kerana tidak mahu stafnya berkecil hati, dia akan menangguhkan nasihatnya itu sehingga prestasi seluruh jabatannya merudum. Akibatnya, bukan sahaja seluruh staf jabatan itu sakit hati kepada staf yang bermasalah itu. Sebaliknya, mereka jadi meradang dengan ketua yang tidak menjalankan tugas menyelia staf yang bermasalah itu.

Andainya seorang jejaka berkenan dengan seseorang gadis tetapi setakat menyimpan hati kerana bimbang lamarannya ditolak, akhirnya dia sendiri putih mata apabila lamarannya benar-benar ditolak apabila si gadis mengkhabarkan yang dia menerima lamaran orang lain kerana berasakan dirinya tidak diminati oleh jejaka itu.

Berkatalah apa yang perlu diperkatakan kepada seseorang itu walaupun di hati berasa bimbang seandainya apa yang disuarakan itu ditolak. Jika jawapannya negatif, sekurang-kurangnya kita sudah mencuba. Sebaliknya, jika jawapannya positif, alangkah ia baik untuk perhubungan kedua-dua pihak? Pilihlah masa yang sesuai untuk menyatakan apa yang ingin disampaikan meskipun berlapis-lapis lapik katanya.

Yang penting, seandainya kita menyimpan perasaan dan persoalan, kita telah membuat keputusan untuk orang lain. Cara itu tidak adil kepadanya. Pendekatan itu juga tidak adil kepada diri kita sendiri.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor