Pages

Thursday, March 31, 2016

[LIPIS] MANGSA KEBAKARAN DIBANTU


Mangsa kebakaran dibantu


Empat mangsa kebakaran kilang papan di Kampung Kechau di sini, menerima bantuan barang keperluan bernilai RM5,000 daripada kerajaan negeri.

Bantuan peralatan seperti dapur, tilam, bantal, cadar, kain selimut, pakaian dan barang makanan itu disampaikan Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Dalam kebakaran kira-kira jam 11.50 pagi pada 13 Mac lalu, seramai 94 pekerja kilang termasuk pekerja warga asing tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kongsi kilang papan, di Kampung Kechau, musnah terbakar.

Daripada keseluruhan mangsa terlibat, hanya empat keluarga penduduk tempatan.

Salah seorang mangsa, Noor Nadia Natasha Mohd Luai, 45, berkata, keluarganya kini terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat.

“Ketika kejadian, saya dan suami bekerja di kilang berdekatan, namun tidak mampu menyelamatkan barang-barang kerana api marak pantas dan keadaan juga kelam kabut.

“Saya bersyukur dua anak kami selamat kerana kebetulan mereka ke rumah datuknya di kampung berdekatan sempena cuti persekolahan,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Dia juga berterima kasih kepada wakil rakyat Padang Tengku kerana menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka dalam tempoh pemulihan akibat bencana itu.

Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan negeri cakna dengan nasib mangsa terutama penduduk tempatan yang bergantung hidup dengan pendapatan sebagai buruh kilang.

“Mangsa kini menumpang rumah saudara mara, dan kami akan memohon dana kerajaan negeri serta bantuan institusi zakat untuk pembinaan rumah baharu sekiranya mereka mempunyai tapak rumah.

“Kami juga cuba menolong mangsa yang tidak mempunyai tapak rumah memperoleh bantuan di bawah Projek Pembasmian Kemiskinan Bandar menerusi penyelenggaraan pihak berkuasa tempatan berasaskan tapisan kelayakan tertentu dan secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, pengusaha kilang papan juga disarankan membantu kebajikan mangsa kebakaran selari tanggungjawab sosial korporat memandangkan pekerja terlibat tinggal sehelai sepinggang.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor