“Bila doktor sahkan Mohd Iqbal ada ketumbuhan, saya terkejut dan menangis. Saya tak dapat terima dugaan ALLAH kepada saya sekeluarga. Tapi sekarang, saya akur ketentuan dan terima dengan hati terbuka kerana saya sedar setiap ujian pasti ada hikmah di sebaliknya," luah Faizah Razali, 32.
Dia dan suaminya Mohd Khasan Mohd Ridu, 43, menerima hakikat apabila anak mereka kini terlantar di hospital selepas disahkan menghidap ketumbuhan dalam kepala sejak dua minggu lalu.
Sejak itu anaknya, Mohd Iqbal Mohd Khasan, 5, tidak boleh bercakap, hanya bergantung sepenuhnya susu yang dibekalkan hospital.
Menurut Faizah, dia tidak menyangka anak keenamnya itu yang sebelum ini aktif langsung tiada sebarang petanda awal menghidap penyakit itu.
Cuma, sejak pertengahan Mac lalu, dia mengesan beberapa perubahan yang berlaku kepada Mohd Iqbal seperti selalu kejang tangan dan kaki.
“Dia juga mengadu penglihatannya kabur, selera makan tak ada dan wajahnya lesu sepanjang dua minggu lalu.
“Bimbang dengan keadaan kesihatannya, saya meminta suami menghantar Mohd Iqbal ke Hospital Pekan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Faizah berkata, hasil pemeriksaan pihak hospital mengarahkan Mohd Iqbal di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
Luluh hatinya apabila hasil imbasan MRI mendapati ada ketumbuhan dalam kepala anaknya dan perlu jalani pembedahan segera membuang cecair dalam kepala.
Ibu kepada tujuh anak ini memaklumkan, Mohd Iqbal kini terlantar di katil hospital untuk menunggu pembedahan kali kedua.
“Kalau semua urat saraf dia sudah stabil, Insya-ALLAH pembedahan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Setakat ini katanya, pihak HTAA belum memaklumkan kos rawatan sebenar.
Lebih memeritkan, suaminya tidak lagi bekerja kerana menjaga dan menguruskan Mohd Iqbal di hospital.
“Saya tak boleh jaga Mohd Iqbal sebab ada asma. Saya juga kena jaga enam lagi anak yang masih kecil dan bersekolah.
“Kalau tak cukup rehat, penyakit asma akan menyerang, jadi suami terpaksa berhenti kerja,” katanya.
Bagi menampung keperluan harian, Faizah berniaga kuih secara kecilan-kecilan dengan pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari.
Katanya, sejak suaminya tidak bekerja, sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan keluarga semakin terhad.
“Selama ini kami bergantung pendapatan suami, bila suami tak bekerja hidup semakin tersepit,” katanya.
Info: Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 06021506271528 atas nama Mohd Khasan Mohd Ridu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor