SATU lagi episod bersiri menimpa skuad Tok Gajah apabila Ketua Jurulatih, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan penolongnya, Azaruddin Aziz menghantar surat menyuarakan hasrat meletak jawatan masing-masing kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) di sini, Isnin lalu, lapor ROSILAWATI ROSEDI.
Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim memberitahu, kedua-dua bekas pemain kebangsaan itu menyuarakan hasrat mereka dalam surat yang dihantar kepada persatuan tersebut.
Katanya, sehingga kini tiada keputusan muktamad diambil susulan keputusan Ahmad Shaharuddin dan Azaruddin itu.
“Satu mesyuarat Exco PBNP akan dibuat Khamis ini (esok) sama ada untuk menerima dan tindakan selanjutnya berikutan hasrat yang dinyatakan oleh mereka.
“Kita akan umum sebarang keputusan muktamad dan langkah seterusnya selepas mesyuarat tersebut,” katanya.
Tindakan Ahmad Shaharuddin dan Azaruddin dipercayai berikutan prestasi kurang memberangsangkan Pahang dalam saingan Liga Malaysia 2016 yang mencatat tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super dan terperosok di kedudukan tercorot liga setakat ini.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pahang FC Sdn Bhd, Fahrizal Hassan meletak jawatan Ahad lalu dan Naib Presiden PBNP, Datuk Akbar V.V Abu dilantik mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Dalam pada itu, ditanya isu bekas dua pemain tengah Harimau Muda C, R Dinesh dan R Kogileswaran, Fuzzeimi memberitahu, hasil mesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin, dua pemain itu dibenarkan beraksi bersama Pahang namun bermula pada jendela kedua liga iaitu Jun depan.
“Setakat ini apa yang boleh saya katakan, kedua-dua pemain ini dibenarkan beraksi bersama Pahang bermula Jun depan dan kita sedang menunggu surat pengesahan rasmi daripada FAM,” katanya lagi.
Sebelum itu, kontroversi timbul apabila Frenz United menuntut kedua-dua pemain ini kembali kem pasukan itu selain Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) turut membuat tuntutan sama sehingga menyebabkan pemain yang menandatangani kontrak bersama Pahang untuk musim 2016 tidak dapat beraksi hingga kini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor