Pages

Friday, March 11, 2016

KERANA SEPOTONG AYAT


al-quran


Al-Quran adalah mukjizat agung yang kekal sehingga hari kiamat. Dalamnya terkandung lebih enam ribu ayat yang membicarakan kalam Tuhan Yang Maha Esa. Ayat-ayat tersebut tidak sesekali terhenti untuk dibaca dan diamalkan setelah wafatnya junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW. Bahkan al-Quran sentiasa dirujuk dan dibahaskan sehingga ke hari ini.

Pendakwah, Ustaz Mohamed Amiro Safwan Mohd Kamil dalam pertemuan bersama Rehal menjelaskan, ayat-ayat al-Quran ini bukan hanya diturunkan untuk satu zaman dan masa sahaja. Tetapi ia unggul untuk zaman apa pun yang dilalui oleh manusia. Perubahan tamadun bangsa, budaya dan adat tidak menjadikan ayat-ayatnya ketinggalan zaman atau ia ditinggalkan begitu sahaja.

"Sememangnya ayat ini diturunkan untuk diamalkan. Bahkan jauh sekali mereka yang mengamalkannya menjadi syirik. Ini kerana ayat tersebut membicarakan perihal suruhan dan larangan ALLAH SWT terhadap sesuatu perkara. Atau menjelaskan mengenai sirah (sejarah) yang pernah berlaku dalam masyarakat yang hidup sebelum daripada kita.

"ALLAH amat suka kepada hamba-Nya yang mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala bentuk larangan-Nya. Yang menjadi syirik adalah apabila kita tidak beriman dengan ayat-ayat-Nya dan mengingkari kebenaran-Nya. Atau juga kita memesongkan maksud sebenar ayat tersebut demi kepentingan diri atau seumpamanya sehingga makna itu bukan disandarkan pada ALLAH. Maka di sinilah akan berlakunya syirik," katanya.

Istiqamah dalam beramal

Menurut Ustaz Mohamed Amiro Safwan, beliau sendiri pun tidak mengkhususkan untuk mengamalkan mana-aman ayat tertentu dalam Quran. Beliau kongsikan satu ayat, sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat yang dilakukan), janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Zumar: 53)

Beliau mengatakan ayat ini sentiasa memberi motivasi kepada dirinya sewaktu dalam kesusahan, kesulitan, kepayahan atau ditimpa sesuatu musibah. Walaupun dalam keadaan sukar tetapi ayat ini amat merangsang diri untuk berasai adanya ALLAH sebagai tempat bergantung. Segala yang ditimpakan ke atas kita semuanya datang daripada ALLAH.

Maka mengapa pula kita tidak mengadu kepada-Nya agar mengangkat kembali musibah yang ditimpakan. Di sinilah ruang untuk kita kembali bermuhasabah. Mengingati setiap dosa yang kita lakukan agar segera bertaubat. Kemudian menggantikannya pula dengan amal soleh yang bakal menjadi bekalan pahala.

Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda SAW yang mulia tidak pernah meninggalkan al-Quran. Segala ayatnya diamalkan dengan penuh khusyuk dan istiqamah. Ayat-ayat Tuhan menjadi pemangkin untuk mereka kuat dalam menyebarkan dakwah serta memanjangkan risalah agama. Ustaz Mohamed Amiro Safwan berkata, Nabi Muhammad SAW juga mengamalkan zikir daripada ayat-ayat al-Quran. Yang mana ia disebut sebagai Al-Ma'thurat. Umum mengetahui akan hal ini. Bahkan ia telah pun disusun dengan rapi dan dibukukan untuk bacaan harian kita. Sebagai umatnya, kita disarankan untuk turut mengamalkan Al-Ma'thurat setiap pagi dan petang.

Fahami ayat al-Quran

Satu daripada ayat al-Quran yang Nabi Muhammad SAW sering amalkan iaitu Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku." (Surah Al-Isra: 80)

Beliau memberitahu ayat tersebut sering dibaca oleh Nabi Muhammad SAW selepas selesai mengerjakan solat. Baginda SAW memohon kepada ALLAH akan kekuatan untuk memimpin ummah dan diberikan ketabahan dalam menyampaikan risalah Islam.

"Kekuatan yang dipohon Baginda SAW ini adalah kekuatan yang langsung datang daripada ALLAH Yang Maha Kuat disertai dengan pertolongan-Nya. Doa ini amat baik utk diamalkan oleh umat Islam khususnya pemimpin yang diberi tanggungjawab untuk memikul amanah," jelas anak jati Kelantan ini. Ada yang bertanyakan Ustaz Mohamed Amiro Safwan, perlukah memahami maksud ayat yang diamalkan, jawapan beliau sememangnya kita perlu mengetahui dan memahami makna di sebalik ayat tersebut. Apakah tuntutan ayat itu? Bagaimanakah ia boleh memberikan kekuatan untuk kita?

"Mana mungkin kita ingin amalkan sesuatu sedangkan kita sendiri tidak memahaminya secara jelas. Bahkan kalau tidak difahami seolah-olah kita amalkan sesuatu yang tidak membawa apa-apa manfaat dalam kehidupan," katanya.

Bersempena dengan kempen Membaca Al-Quran (Let's read the Quran) yang bermula 1 hingga 31 Mac ini, marilah kita bersama menjadikan paling kurang sepotong ayat al-Quran sebagai amalan setiap hari. Semoga apa yang dilakukan mendapat keberkatan dan keredaan ILAHI.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor