Kuala Pilah - Sepasang suami isteri sanggup membawa anak berusia sembilan tahun semata-mata mahu membeli dadah di kawasan belukar kebun getah di hadapan sebuah sekolah menengah, di sini.
Bagaimanapun tindakan mereka yang menaiki sebuah motosikal untuk mendapatkan bekalan dadah di ‘port sekolah’ ternyata sia-sia, apabila akhirnya dicekup dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, diketuai Pegawai Risikan Operasi Narkotik daerah, Inspektor Annas Fikri Othman, petang kelmarin.
Pasangan berusia 47 dan 34 tahun itu antara 12 diberkas termasuk seorang tokan dadah berusia 23 hingga 68 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Luqman Abd Rahman berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat orang awam berhubung kawasan belukar itu dijadikan port untuk melepaskan gian.
“Setelah risikan dilakukan, kita laksanakan Op Sarang bersama 16 anggota seawal jam 6 pagi. Pasukan polis menggempur sarang penagih dadah yang dikenali sebagai ‘port sekolah’ di sebuah belukar kebun getah di sini.
“Hasil ujian air kencing, lapan orang didapati positif dadah jenis opiate manakala empat orang didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Pengedar dadah yang ditangkap bersama sejumlah heroin akan didakwa di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah manakala kesemua penagih akan didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya ditemui, semalam.
Luqman berkata, suspek yang berusia 68 tahun merupakan seorang datuk dan mempunyai beberapa cucu.
“Daripada 12 orang yang diberkas, tujuh dari daerah ini, dua dari Felda Batu Anam, Johor, sementara dua dari daerah Tampin dan seorang dari Seremban.
“Kesemua suspek yang ditahan merupakan penagih berulang dan dipercayai sering menggunakan ‘port sekolah’ ini untuk melepaskan gian mereka.
“Kesemua yang diberkas kini ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Pilah manakala anak pasangan suami isteri terbabit tidak ditahan,” katanya.
Menurutnya, polis amat mengharapkan kerjasama berterusan daripada masyarakat setempat supaya sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan masing-masing.
Operasi yang digerakkan selama lapan jam itu berakhir jam 2 petang kelmarin.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor