Batu Gajah: Terpesona dengan ayat cinta dan janji manis lelaki asing di laman sosial, seorang guru Tadika terpedaya menyerahkan RM62,000 kepada lelaki berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Superintendan Lee Ewe Kiang berkata guru itu yang juga ibu tunggal berumur 36 tahun baru enam bulan berkenalan dengan individu terbabit
Dalam tempoh perkenalan itu, mereka tidak pernah berjumpa dan perhubungan mereka erat hanya melalui perbualan di laman sosial.
"Apabila mangsa terjerat dengan cinta suspek, suspek mula menagih simpati dan meminta pelbagai pertolongan kewangan daripada mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah semalam.
Beliau berkata wanita berkenaan yang tinggal di Slim River, memasukkan wang RM62,000 ke dalam akaun suspek secara berperingkat dan kemudian membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu.
Beliau berkata hasil siasatan dan risikan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Batu Gajah, seorang wanita berumur 44 tahun ditahan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya, Selangor, 3 Mac lalu, kerana dipercayai berperanan sebagai keldai akaun sindiket berkenaan.
"Susulan itu, esoknya seorang penuntut kolej swasta serta lima lelaki warga Nigeria ditangkap di Pangsapuri Flora Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
"Polis merampas pelbagai barangan dalam rumah itu termasuk lima komputer riba, lima telefon bimbit, dua unit routers wifi dan 21 kad sim," katanya.
Beliau berkata semua suspek direman tujuh hari dan kemudian dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai kerana turut terbabit dengan
kes lain di Pulau Pinang.
Lee berkata, mereka yang berumur antara 24 hingga 37 tahun itu menggunakan visa pelajar untuk memasuki negara ini dan melakukan kegiatan penipuan itu sejak dua tahun lalu, mencari mangsa secara rawak di laman sosial menggunakan profil palsu dan ayat cinta.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor