KUALA TERENGGANU - Semua 15 Adun BN Terengganu menyatakan sokongan jitu dan padu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Perkara itu dizahirkan Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dalam satu sidang media bersama semua Adun berkenaan selepas Persidangan Dun ke-13, di Wisma Darul Iman di sini, kelmarin.
“Kami menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak sebagai perdana menteri dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sebagai kepimpinan tertinggi di Negeri Terengganu.
“Ia tanpa apa-apa cabaran, tanpa apa-apa perasaan berbelah bahagi demi untuk memajukan negeri dan negara tercinta ini,” katanya.
Selasa lalu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam persidangan itu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif.
Bagaimanapun, usul tersebut ditolak Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong berdasarkan Perkara 14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu atas alasan Adun Kijal itu mengemukakan usul tersebut tanpa mengemukakan notis.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, BN yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Said pada ketika itu menang tipis 17 kerusi Dun daripada 32 kerusi manakala Pas menang 14 dan PKR hanya 1 kerusi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor