Pages

Friday, February 12, 2016

[TRIANG] 'MEREKALAH SYURGA SAYA'


‘Merekalah syurga saya’


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah yang terpaksa diharungi seorang wanita berstatus ibu tunggal yang perlu menyara tiga dari empat anaknya disahkan sebagai anak-anak istimewa.

Nor Azila Md Tam, 54, bukan sahaja melakukannya seorang diri sejak kematian suaminya lima tahun lalu, namun kini anak sulungnya, Abdul Hakim Mohd Noor, 27, juga yang merupakan harapan keluarga hampir hilang keupayaan selepas terbabit dalam satu kemalangan, Julai tahun lalu.

Menurutnya, anak-anaknya, Afiqah, 25; Aqimah, 23 dan Abdul Rashid, 22, mengalami masalah sejak lahir sehingga mereka hilang keupayaan diri.

Pentingkan pendidikan

“Sejak lahir, ketiga-tiga anak saya ini tidak pernah berpeluh, malah pembesaran mereka terencat.

“Doktor sendiri tidak pasti apa yang menjadi punca dengan keadaan ini kerana dalam keturunan saya dan arwah suami, tiada lagi kes begini,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Azila berkata, Afiqah dan Aqimah dihantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Nur Kasih di Felda Purun bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti pembelajaran dan pengajaran, serta bergaul dengan rakan lain.

Katanya, sebelum ini kedua-dua anaknya itu pernah mengikuti kelas pendidikan khas di salah sebuah sekolah di Selangor sehingga berusia 20 tahun sebelum berpindah ke Kampung Kuala Triang, setahun lalu.

Nor Azila terpaksa menunggu anaknya Aqimah menamatkan persekolahannya terlebih dahulu memandangkan di sini kekurangan kemudahan pendidikan bagi orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, menyedari pendidikan penting kepada anak-anaknya, dia rela berulang-alik dari Kuala Triang ke Felda Purun setiap Isnin hingga Khamis sejauh 60 kilometer.

“Setiap pagi, saya akan hantar Afiqah dan Aqimah ke PDK, dan dalam masa sama, Abdul Rashid akan ikut juga.

“Saya kena dukung dia masuk ke dalam kereta. Manakala, kakaknya pula, saya letak atas kerusi roda dan tolak ke kereta. Itulah rutin saya setiap Isnin hingga Khamis,” katanya.

Tulang tiruan tidak sesuai

Sinar Harian dimaklumkan, Afiqah masih perlu menjalani terapi pada bahagian kaki kanannya di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh selepas pembedahan beberapa bulan lalu.

“Sebelum ini, Afiqah masih boleh berjalan walaupun langkahnya tidak sempurna. Tetapi, lama-kelamaan tulang rapuh dan patah.

“Sebab itu, dia kena jalani pembedahan, dan tidak digalakkan terlalu banyak berjalan atau berdiri. Tetapi, pemeriksaan baru-baru ini, doktor dapati tulang kaki dan lututnya telah beralih menyebabkan dia tidak mampu lagi berjalan,” katanya.

Nor Azila berkata, pihak Umno Bahagian Bera telah menziarahi keadaan anak-anaknya, dan membantu Afiqah mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dengan memohon menyediakan alat sokongan (splint) pada kakinya itu.

“Berbeza pula dengan Aqimah, usaha pihak hospital melakukan pembedahan memasukkan tulang tiruan bagi menggantikan tulang sendi pada pinggul masa dia umur tiga tahun tidak berjaya.

“Tulang tiruan itu tak sesuai dengan dirinya. Sejak kecil lagi dia tak boleh berjalan, melainkan merangkak saja sampai sekarang,” katanya.

Perlu kerusi roda

Bagaimanapun, Afiqah dan Aqimah tidak ketinggalan menerima bantuan kewangan menerusi PDK, sementara Abdul Rashid pula menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, sedikit sebanyak, bantuan kewangan yang diterima itu dapat mengurangkan beban, selain menerima pencen (arwah suaminya) daripada Perkeso.

Bagaimanapun, jumlah bantuan itu tidak mencukupi untuk menyara kehidupan mereka anak beranak.

Bukan setakat perlu menampung keperluan harian, tetapi Nor Azila terpaksa menanggung kos petrol (berulang-alik ke PDK Nur Kasih) dan lampin pakai buang yang diguna ketiga-tiga anaknya itu.

Dalam pada itu, Nor Azila berhasrat memiliki sebuah kerusi roda khas untuk Abdul Rashid yang bersesuaian dengan keadaannya memandangkan kerusi roda sedia ada sudah tidak boleh digunakan lagi.

Difahamkan, tulang di bahagian tangan Abdul Rashid terpaksa dibuang, dan diletakkan alat sokongan agar ia tidak terkulai.

“Dia memang langsung tidak boleh menggerakkan tangan atau kaki. Kalau mahu bergerak, dia akan bergolek ikut keselesaan dia.

“Kalau kakak-kakaknya boleh juga melakukan beberapa perkara sendiri, tetapi dia semuanya saya kena bantu. Tetapi, syukur dia tidak banyak kerenah.

“Terima kasih kepada yang prihatin dengan kami. Saya lakukan apa yang terdaya kerana mereka adalah tanggungjawab saya. Merekalah syurga saya,” katanya.

Kepada yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun 14174-41-00002577-9 (BSN).


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor