Pages

Wednesday, February 24, 2016

TIADA KOMPROMI DESAKAN SEMAKAN UNDANG-UNDANG GANJA

ganja



PUTRAJAYA - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak akan berkompromi terhadap sebarang desakan supaya semakan semula dibuat ke atas undang-undang bagi membenarkan penggunaan ganja di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Suhaimi Abdullah berkata kajian menunjukkan pengambilan ganja yang kerap dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan daya ingatan dan kebolehan berfikir terjejas sekali gus menyebabkan pengguna ganja menjadi malas dan antisosial.

"Justeru, kerajaan telah mengharamkan sebarang aktiviti penanaman, penghasilan, pengendalian, pemilikan, pengimportan dan pengeksportan ganja seperti termaktub dalam Bahagian II Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, Mesyuarat Menteri-menteri Asean Berkaitan Dadah tahun lepas turut bersepakat untuk berpegang kepada sikap 'zero tolerance' atau toleransi sifar terhadap penggunaan sebarang jenis dadah termasuk ganja.

Katanya ketegasan kerajaan Malaysia juga akan dinyatakan dalam Sesi Khas Mengenai Dadah dalam Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGASS) 2016 di New York, Amerika Syarikat pada 19 hingga 21 April depan. 

Justeru, Suhaimi menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dengan sebarang gerakan mendesak semakan semula undang-undang itu serta menjauhkan diri daripada terjebak ke kancah penagihan dadah.

Baru-baru ini, beberapa individu dan kumpulan aktif mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengelirukan mengenai ganja selain membuat cadangan supaya kerajaan membuat semakan undang-undang bagi menghalalkan penggunaan ganja di negara ini. - Bernama




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor