Seorang buruh kasar terpaksa mengehadkan perbelanjaan rawatan anaknya yang menghidap sakit jantung demi memberi tumpuan kepada seorang lagi anaknya yang mengidap sakit kronik usus tidak berfungsi.
Menurut Hasmadi Hanafi, 35, pendapatan sebagai buruh kasar tidak mampu menampung kos rawatan dua penyakit kronik yang dihidapi kedua anaknya.
Menurutnya, anak sulung, Mohd Hadif, 3, mengalami masalah injap jantung sempit dan memerlukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) pada setiap enam bulan.
“Mohd Hadif memerlukan susu khas yang mahal harganya dan kos rawatan untuk ke IJN mencecah RM500 setiap kali pergi,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Hasmadi berkata, anak kedua, Nurul Aqila Maisara, 13 bulan, tidak pernah pulang ke rumah sejak dilahirkan kerana ususnya tiada saraf untuk menyerap makanan.
“Anak kedua saya dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh. Semasa isteri melahirkannya, perut Aqila membesar, hanya tiga hari di Hoshas, dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disahkan menghidap penyakit kronik itu.
“Sejak itu, kos rawatan untuk kedua-dua anak jadi makin tinggi hinggakan kami terpaksa mengehadkan pembelian susu khas untuk anak pertama kerana ketiadaan duit,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Norhafizah Zainuddin 31, berkata, penyakit anak keduanya itu lebih kronik kerana perlu ditempatkan sepanjang masa di hospital dan tidak boleh minum susu dan makanan seperti bayi normal lain.
Menurutnya, Nurul Aqila hanya membesar dengan nutrisi makanan Parenteral (TPN) seperti dimaklumkan doktor.
“Anak saya ditebuk di dada untuk saluran makanan masuk dan ditebuk di perut untuk saluran pembuangan najisnya,” katanya.
Norhafizah berkata, anak keduanya itu menjalani pembedahan kali pertama pada usia satu minggu dan sehingga kini memerlukan rawatan berterusan di hospital.
“Bil hospital sudah mencecah RM28,000 kami tak pernah bayar, pendapatan tidak menentu, kami sebenarnya ingin bawa pulang anak kami ini tetapi pihak hospital cadangkan kami sediakan bilik khas untuknya.
“Kos bilik dan peralatan seperti mesin dan ubat-ubatan mencecah RM100,000, mana kami nak cari wang sebanyak itu,” kata suri rumah itu.
Norhafizah yang masih tinggal bersama ibu bapanya di Felda Kemasul, Bentong berkata, dia memerlukan wang belanja sebanyak RM2,800 sebulan bagi kedua-dua anaknya yang menghidap sakit kronik itu.
Menurutnya, apa yang menyedihkan, permohonan untuk anak mengidap penyakit kronik dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wang dari pejabat zakat didakwa masih belum diterima.
“Kami sangat harapkan wang itu untuk tampung belanja rawatan kedua-dua anak yang sangat tinggi ini,” katanya.
Norhafizah berkata, dia juga berusaha memohon bantuan wakil rakyat untuk mendapatkan sebuah rumah di Temerloh.
“Saya tidak ada rumah sendiri dan masih menumpang rumah orang tua.
"Saya rayu dengan wakil rakyat untuk dapatkan sebuah rumah kalau boleh di Temerloh sebab senang untuk kami ulang alik ke Hoshas bagi rawatan susulan anak saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor