Pages

Sunday, February 28, 2016

SYUKUR SUDAH ADA JAMBATAN


Syukur sudah ada jambatan


Pasir Gudang - Tiada ungkapan lain yang mampu dilafazkan 500 penduduk Kampung Perigi Acheh, di sini selain rasa syukur selepas jambatan separuh kekal yang dibina siap kelmarin.

Ketua kampungnya, Saat Awang berkata, penduduk boleh menarik nafas lega kerana sudah boleh menjalani kehidupan secara normal selepas berdepan pelbagai dugaan kerana jambatan yang menjadi nadi utama runtuh sejak 8 Februari lalu.

Bagaimanapun menurutnya, penduduk masih menaruh harapan yang tinggi supaya jambatan kekal dapat disegerakan pembinaannya untuk mengelakkan berlaku insiden yang tidak diingini.

“Hampir sebulan ketiadaan jambatan benar-benar menguji kesabaran penduduk kerana aktiviti seharian terpaksa dihadkan.

“Kami hargai keprihatinan semua pihak sehingga jambatan separuh kekal ini dibina dalam tempoh singkat, tapi harapan tetap ingin melihat jambatan kekal dapat dibina segera,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Amir Komeng, 44, berkata, ahli keluarganya tidak dapat hidup aman selepas jambatan runtuh kerana bimbang dengan sebarang kemungkinan berlaku kecemasan dan sebagainya.

“Hampir sebulan kami tidur tak lena kerana bimbang keselamatan kenderaan yang terpaksa diparkir di seberang sungai selepas jambatan runtuh.

“Alhamdulillah walaupun ini jambatan separuh kekal, tapi ia sangat melegakan kerana kami sudah boleh menjalani kehidupan secara normal.

“Bagaimanapun kami minta segerakan juga pembinaan jambatan kekal seperti yang dijanjikan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Johor Bahru, Sharudin Ismail berkata, Jambatan Bailey bernilai RM100,000 siap dibina kelmarin selepas kerja pembinaan dilaksanakan sejak 21 Februari lalu.

Menurutnya, seramai 40 pegawai dan kakitangan JKR termasuk tiga yang terlatih dari Temerloh, Pahang bertanggungjawab menyiapkan jambatan berkenaan.

“Selama 18 hari kami berkampung di kawasan ini dengan menggiatkan kerja 24 jam sejak 21 Februari lalu bagi menyiapkan Jambatan Bailey untuk kemudahan penduduk selepas terputus hubungan sebelum ini.

“Insya-ALLAH ia boleh digunakan penduduk kampung ini dalam tempoh sehari dua lagi,” katanya.

Sharudin berkata, jambatan berkenaan mampu menampung berat melebihi lapan tan dalam satu masa dan berukuran 25 meter panjang.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan jambatan sepanjang 50 meter yang menjadi nadi utama penduduk Kampung Perigi Acheh runtuh akibat arus deras dan keadaan tiang yang senget selepas mendapan Tanah kira-kira jam 2 pagi 8 Februari lalu.

Sebuah jambatan sementara bersaiz 9.14 meter panjang dan 3.04 meter lebar siap dibina 10 Februari lalu bagi menggantikan jambatan runtuh, namun hanya boleh bertahan untuk tempoh dua minggu sementara perlu dibina jambatan separuh kekal.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor