Pages

Sunday, February 28, 2016

SIHIR DI HUJUNG JARI


Sihir di hujung jari


Jika dahulu, amalan sihir ataupun ilmu hitam mungkin dianggap popular di kalangan orang yang lebih berusia.

Namun kini, siapa sangka, remaja berumur sekitar belasan tahun pun sudah mampu mempelajari ilmu itu dengan sekelip mata sahaja.

Itulah pendedahan dibuat pengamal perubatan muda, Mohd Khalid Ab Rahman, 29, kepada Sinar Harian.

Berpengalaman dalam dunia perubatan Islam sejak tahun 2009, menurut Mohd Khalid, dia pernah mengubati salah seorang pesakit muda yang berusia 14 tahun.

Katanya, amat mengejutkan apabila pelajar tersebut mengakui ‘saja-saja’ mencuba ilmu hitam dengan mempelajarinya melalui internet sahaja.

“Ia berlaku disebabkan remaja lelaki itu suka kepada salah seorang pelajar perempuan di sekolahnya. Oleh kerana dia nak pelajar itu menyukai dia juga, maka dia cuba buat ilmu hitam, yang mana padanya dianggap mudah serta cepat.

“Bukan satu atau dua kes kejadian macam ni. Sebenarnya memang banyak berlaku di kalangan remaja sekolah, dan pada saya sudah semestinya ia adalah trend yang membimbangkan untuk umat Islam sendiri,” katanya.

Jelasnya yang juga ahli perubatan Pusat Rawatan Islam dan Tarbiyah Ilmu Nuraniyyah Pulau Pinang, pada zaman remajanya dahulu, antara amalan sihir popular ialah permainan yang digelar ‘spirit of the coins’ atau menyeru roh menggunakan duit siling.

“Disebabkan permainan inilah berlakunya histeria dan pelbagai jenis gangguan di asrama serta sekolah. Ini kerana roh ataupun jin yang dipanggil oleh manusia-manusia ini datang setelah diseru.

“Itu zaman lebih kurang 20 tahun lepas, tapi zaman moden sekarang lagi bahaya. Dengan hanya belajar di internet saja, remaja boleh mengakses pelbagai jenis jampi serapah ataupun mantera sekali gus mempraktikkannya,” katanya.

Gadis jadi mangsa ilmu sihir

Sementara itu, menceritakan pengalamannya, Mardhiah (bukan nama sebenar) baru berusia 16 tahun dan pernah mengalami gangguan penyakit misteri.

Awalnya dia hanya berasa sakit-sakit kepala dan juga tidak ada selera makan.

Namun lama-kelamaan badannya lemah dan tidak mampu fokus dalam pelajaran.

Hampir setiap kali waktu maghrib, gadis itu meronta-ronta serta minta dilepaskan dari rumah.

“Tapi kalau kat sekolah saya jadi bersemangat bila tengok ada seorang budak lelaki ni. Mata pun asyik melekat kat dia, sampai saya tak boleh nak pandang papan hitam dan guru pun.

“Tapi bila balik rumah, saya jadi lemah dan seolah-olah benci tengok mak dan ayah," katanya.

Hampir dua bulan merasai kelainan pada anaknya itu, ibu Mardhiah cuba membawanya ke klinik, namun tidak ada penyakit serius dikesan.

Sehinggalah suatu hari dia terdetik untuk mencuba perubatan Islam.

Ibu Mardhiah yang hanya mahu dikenali sebagai Ruhil berkata, pengamal perubatan itu dikenali melalui rakannya.

“Tak salah mencuba selagi ia berlandaskan syariat Islam. Saya pun cuba bawa Mardhiah. Alangkah terkejutnya saya bila dapat tahu Mardhiah terkena sesuatu seperti yang dianggap sihir pengasih, tapi bukan ditujukan kepadanya.

“Difahamkan anak saya hanya terkena kerana mungkin ada remaja lain sengaja cuba ilmu yang dipelajari,” katanya.

Kini Mardhiah semakin pulih dan keluarganya berusaha membantunya dengan meningkatkan amal ibadat.

“Setiap kali waktu Maghrib, kami cuba solat berjemaah. Sebelum keluar rumah pun saya minta anak-anak amalkan surah al-Fatihah, tiga kul, ayat Kursi dan 1,000 dinar.

“Saya juga minta mereka berzikir setiap masa tak lepas dari bibir, katanya.

Sihir rumah tangga antara paling popular

Dalam pada itu, sihir untuk meruntuhkan rumah tangga antara paling popular di zaman moden kini.

Mohd Khalid yang juga lebih mesra dipanggil Ustaz Khalid di kalangan pesakitnya memberitahu, bukan sahaja pasangan suami isteri, malah penyihir atau individu yang sakit hati turut mampu merosakkan hubungan di antara anak dan ayah serta ahli keluarga yang lain.

“Kita kena ingat, amalan jahat ini sebenarnya berpunca daripada hati bermasalah, termasuk dengki, tidak puas hati, dendam dan sebagainya.

“Punca utamanya juga ialah al-ain iaitu mata atau pandangan mata. Dari situlah timbul hasutan dan ia berlaku apabila manusia berada di luar kawalan dan tidak mampu membendungnya,” katanya.

Jelasnya lagi, iblis ataupun syaitan amat menyukai sekiranya penceraian berlaku dan ia diceritakan melalui Surah al-Baqarah.

Selain sihir terhadap rumah tangga, santau antara penyakit yang sering kali cuba dipulihkan Mohd Khalid bersama kumpulan perubatannya.

Terdapat dua jenis santau iaitu kepada orang atau tuan kedai dan juga santau secara rawak atau lebih mudah dipanggil santau membabi buta.

Kesan santau lebih cepat terkena kepada seseorang individu melalui muntah, sakit perut dan badan jadi lemah.

“Kebiasaannya ia melibatkan kesan fizikal. Santau rawak ini berlaku disebabkan tukang santau ini sengaja hendak mencuba, dan jika tersilap kita juga mungkin berisiko untuk kena sebab mereka saja nak ‘test’,” katanya.

Sihir pengasih juga semakin menjadi amalan di kalangan manusia hidup di zaman serba canggih ini.

“Senang, itu saja boleh cakap. Tak dapat perempuan itu sebelum ini, ok kenakan sihir pengasih, selesai masalah,” katanya.

Belajar perubatan Islam demi keluarga

Pasti ada yang tertanya-tanya, usia Mohd Khalid begitu muda untuk bergelar pengamal perubatan Islam.

Ceritanya, keluarganya pernah ditimpa musibah dan kerana itulah dia mula mempelajari ilmu perubatan berkenaan.

“Niat saya pada awalnya hanya mahu melindungi keluarga daripada ditimpa musibah, dan lama-kelamaan saya rasakan ilmu perubatan Islam ini begitu menarik.

“Jadi sehingga hari inilah saya terus belajar walaupun sudah mampu mengubati pesakit,” katanya.

Didatangi ramai pesakit yang cuba meminta bantuan, Ustaz Khalid turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak salah memilih ‘tukang ubat’.

Dalam Islam, kaedah perubatan yang utama hanya menggunakan ayat al-Quran dan juga bahan alam termasuk tumbuh-tumbuhan.

“Sekiranya jin yang digunakan, mungkin ia akan bertambah buruk. Oleh kerana itu saya katakan, cukup dengan ayat al-Quran, Insya-ALLAH sekiranya diizinkan ALLAH SWT, penyakit tersebut akan sembuh,” katanya.

Nasihatnya, orang ramai tidak perlu takut dengan ilmu hitam ataupun sihir jahat.

Jelasnya, sebagai umat Islam, keyakinan adalah teras utama dan sebagai muslim kita perlu sentiasa istiqamah dalam setiap amalan.

Ia termasuk menunaikan solat fardu lima waktu dan juga menunaikan amalan-amalan sunat yang lain.

“Zikir adalah makanan rohani umat Islam dan paling mudah dilakukan. Cuba kita berzikir, hati kita akan menjadi lebih tenang,” katanya.

Sihir antara tujuh dosa besar

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menghindari sihir kerana ia di antara tujuh dosa besar yang membinasakan.

Tegasnya, setiap muslim perlu menghindari amalan buruk dan berdosa itu lebih-lebih lagi yang bertujuan menganiayai orang lain.

“Walaupun ada yang menggunakan sihir untuk menawan hati seseorang supaya suka kepada dirinya atau mencintainya seperti ilmu pengasih, tetapi biasanya ini juga boleh memudaratkan sasaran seperti menjadikan individu itu bodoh dan kebingungan.

“Oleh itu tak usahlah terlibat dalam perbuatan yang keji dan tercela ini.

“Apalah sangat dengan kepentingan dan kentungan yang diperolehi semasa hidup di dunia yang sementara ini kalau di akhirat nanti akan terseksa di dalam api neraka selama-lamanya.” katanya.

Wan Salim berkata, perkataan sihir berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian sesuatu yang menarik, memukau dan mempesonakan.

Sihir adalah satu hakikat dan ia disebut di dalam ayat al-Quran, termasuk kisah tentang tukang-tukang sihir Raja Firaun yang dikalahkan oleh Mukjizat Nabi Musa.

Juga kisah syaitan mengajar ilmu sihir pada zaman Nabi Sulaiman.

Tambah Wan Salim, sihir sememangnya berkesan dari segi memanfaatkan atau memudaratkan manusia.

“Amalan sihir adalah kufur jika diiktiqadkan memberi kesan dengan sendirinya serta hukum mempelajari ilmu sihir bergantung kepada niat seseorang.

“Kalau niat hendak memudaratkan orang lain maka hukumnya haram dan berdosa, tetapi jika niat untuk membantu orang terkena sihir atau melindungi daripada kemudaratannya, maka hukumnya harus dan tidak berdosa,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor