Pages

Tuesday, February 2, 2016

SEMPAT GUNTING RAMBUT SEBELUM ROMPAK


Sempat gunting rambut sebelum rompak


Kota Bharu – Seorang buruh yang sempat digunting rambutnya dan kemudian merompak tukang gunting berkenaan, dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim Mohd Yusoff Yunus terhadap Mat Faizul Mat Din, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Beliau turut memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditahan pada 19 Mac 2015.

Mat Faizul didakwa merompak Siti Taysha Abd Aziz, 22, dengan melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM30 di salon di hadapan Kem Desa Pahlawan, di sini, pada jam 11 pagi, 30 November 2014.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya, bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal terhadap kesalahan yang dilakukan.

“Jenayah yang dilakukan sangat serius dan saya mohon mahkamah mengambil kira kesan trauma dialami mangsa. Saya juga mohon satu hukuman berat dan sebat yang mampu membendung jenayah sama daripada berulang dalam masyarakat,” katanya.

Dalam kejadian lalu, mangsa didatangi tertuduh untuk mengunting rambut di salon berkenaan. Selesai mengunting, tertuduh tiba-tiba mengacu pisau dan bertindak mencekik mangsa.

Dia kemudian mengheret mangsa masuk ke sebuah bilik dan memijak di badan sebelum mengambil wang tunai dan telefon bimbit.

Tertuduh selepas itu melarikan diri dengan motosikal jenis Honda Ex5, tetapi berjaya ditahan dan dicamkan sebagai orang yang merompak mangsa.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor