Pages

Thursday, February 4, 2016

REMAJA 16 TAHUN DIDAKWA MILIKI BAHAN BERKAITAN IS


Remaja 16 tahun didakwa miliki bahan berkaitan IS


Sungai Petani - Seorang remaja berusia 16 tahun didakwa atas tuduhan memiliki barangan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS), di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

Remaja bawah umur itu turut didakwa atas dua lagi pertuduhan atas kesalahan mengugut dan juga memiliki senjata api tiruan.

Sejurus ketiga-tiga pertuduhan dibacakan remaja lelaki itu mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Untuk pertuduhan pertama, remaja dituduh memiliki barangan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS mengikut Seksyen 130 JB (1)(a) Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, remaja itu berdepan dengan hukuman mengikut seksyen yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana barangan tersebut.

Pertuduhan kedua, remaja itu didakwa mengugut seorang wanita mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala, pertuduhan ketiga remaja itu didakwa memiliki pistol tiruan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu, didakwa dilakukan remaja itu kira-kira jam 9 malam, di Pasaraya Bilion Jalan Pengkalan, di sini, 11 Januari lalu.

Selepas pertuduhan dibacakan, Majistret Adibah Husna Zainal Abidin menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes itu bagi mendapat izin kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum itu, dalam prosiding mahkamah tertutup, Adibah Husna juga menerangkan bahawa tiada jaminan dibenarkan oleh pihak mahkamah atas tuduhan dihadapi oleh remaja itu.

Kes dikendalikan olehb Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim. Sementara itu, remaja lelaki itu diwakili oleh Peguam Ahmad Taufiq Baharum.

Turut kelihatan ibu bapa dan ahli keluarga kepada remaja itu turut hadir ke mahkamah, semalam.

Difahamkan, remaja itu akan dihantar ke Penjara Sungai Petani sehingga sebutan semula kes itu.

Bulan lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar tingakatan 4 dari sebuah sekolah agama, di sini, cuba menyamun sebuah gerai cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) di sebuah pasar raya di sini, menyebabkan dia tahan polis.

Remaja itu didapati bertopeng ala IS serta bersenjatakan pistol mainan dan sebilah pisau mencetuskan keadaan panik di pasar raya berkenaan.

Siasatan awal polis, mendapati remaja dari Sungai Layar di sini, merampas sebilah pisau pemotong sayur, sepucuk pistol mainan, kain penutup muka bercetak logo IS dan dokumen berkaitan kumpulan itu.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor