Putrajaya – Laporan sebuah portal berita asing kononnya juruterbang pesawat MH370 Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang hilang hampir dua tahun lalu ditemui selamat di Taiwan, adalah palsu.
Berdasarkan penelitian, wujud keraguan fakta dalam berita olehworldnewsdailyreport.com kononnya Kapten Zaharie Ahmad Shah ditemui penduduk kampung di tebing Sungai Tangshui pada Isnin lalu.
Ini kerana portal itu didapati menggunakan gambar Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. S. Jeyaindran sebagai Dr. Syed Boon Sulong yang kononnya kini merawat juruterbang berusia 53 tahun itu.
Gambar Dr. Jeyaindran yang disiarkan oleh portal antarabangsa tersebut sebenarnya dipercayai diambil daripada laporan lain menerusi sebuah portal berita tempatan bertarikh 11 Oktober pada tahun lalu.
Manakala pesakit terbaring di katil hospital yang didakwa konon sebagai Zaharie pula adalah warga Myanmar dikenali dengan nama Aung Myo Oo dan dia pernah dirawat di ibu negara pada 3 Jun 2013.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi pihak media tempatan turut menyifatkan laporan yang disiarkan portal berita itu sebagai nyata langsung tidak benar.
“Pembohong!” katanya ringkas. Laman worldnewsdailyreport.com terkenal dengan berita sensasi dan pernah menggemparkan dunia menerusi laporan orang utan hamil akibat dirogol baru-baru ini.
Bagaimanapun, berita oleh laman berpusat di London, Britain itu didapati palsu apabila semakan Zoo Surabaya mendapati tiada orang utan dan staf yang bernama seperti dilaporkan tersebut wujud.
Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia berasa kecewa dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja menyebarkan gambar palsu menerusi laman sosial tempatan.
Justeru jelas timbalan menterinya, Datuk Jailani Johari, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta polis akan diminta menyiasat motif serta dalang penyebaran gambar fitnah tersebut.
Pesawat Boeing 777-200ER milik MAB dengan kod MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan ke Beijing, China.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor