Johor Bahru - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan sepasang suami isteri dipercayai terbabit sindiket yang membawa masuk kenderaan dari Singapura ke negara ini, untuk dijadikan sebagai kenderaan klon.
Mereka yang berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan , kelmarin, dalam operasi khas yang dijalankan secara bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pasangan terbabit diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan lanjut, termasuklah kereta yang dibawa masuk bagi tujuan pendakwaan.
“Mereka ditahan di Johor Bahru, dan pihak kami percaya mereka sudah lama terlibat dengan sindiket dan sudah banyak membawa masuk kenderaan dari Singapura ke negara ini bagi tujuan kenderaan klon,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan anggota JPJ Negeri Johor sempena penyampaian sijil penghargaan penguatkuasaan kenderaan klon zon selatan, di sini semalam.
Ismail berkata, JPJ komited meneruskan usaha membanteras sindiket kenderaan menerusi operasi khas berkenaan yang memberi tumpuan kepada tangkapan sindiket membawa masuk kenderaan klon yang diseludup dari Singapura.
Katanya, sehingga kini, jumlah tangkapan kes kenderaan klon adalah sebanyak 917 kes sejak operasi itu dijalankan pada April tahun lalu.
Mengulas mengenai modus operandi sindiket, beliau berkata, hasil risikan mendapati sindiket penyeludupan kenderaan dari Singapura ini, memiliki Certificate of Entitlement (COE) yang akan tamat dalam tempoh antara tiga hingga tujuh hari.
“Kenderaan ini dijual dengan harga murah bergantung kepada model dan tahun kenderaan dibuat. Harga dijual antara S$3,000 hingga S$5,000 bagi kenderaan jenis model BMW, Lexus, Mercedes, Honda dan Toyota.
“Selepas kenderaan dipilih dan pembayaran dibuat, ‘runner’ daripada Singapura akan membawa masuk kenderaan terbabit melalui Tambak Johor dan menyerahkan kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran Singapura kepada ‘runner’ warga tempatan sebelum diserahkan kepada pembeli,” katanya.
Ismail berkata, sindiket terbabit juga akan menukar nombor pendaftaran kenderaan Malaysia mengikut jenis dan model nombor pendaftaran kenderaan yang telah didaftarkan di negara ini.
“Selepas itu, kenderaan klon ini dijual kepada pembeli pada harga RM20,000 hingga RM30,000. Ini bermaksud kenderaan mewah dijual pada harga murah.
“Kebanyakan orang ramai tertipu.. jadi saya nasihatkan orang ramai untuk elak daripada membeli kenderaan klon pada harga murah, tetapi berbahaya. Malah timbul masalah juga selepas setahun ketika mahu memperbaharui cukai jalan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, JPJ kini sedang dalam usaha mewujudkan pasukan tindakan khas yang terdiri daripada anggota terlatih untuk menangani kes-kes tertentu.
“Untuk fasa pertama, kita akan melatih 25 anggota yang dikenal pasti di seluruh negara. Pasukan elit ini akan membanteras kes melibatkan sindiket seperti kenderaan klon dan tonto.
“Mereka ini akan dilatih secara istimewa dengan diberikan kepakaran dalam tempoh tiga minggu. Pasukan tindakan khas ini dijangka bertugas secepat mungkin selepas selesai menjalani latihan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor