Labis - Seorang ibu tunggal di Felda Maokil, di sini, merayu supaya anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga selepas tiga bulan meninggalkan rumah.
Jamaliah Miskun, 54, berkata, Nurul (bukan nama penuh), 24, anak kelima daripada enam beradik dipercayai dibawa lari seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan rakan sekerjanya di sebuah kilang kayu di Sungai Karas, di sini, pada 14 November lalu.
“Tambah menyedihkan makcik, Nurul menghilangkan diri sehari sebelum hari ulang tahun kelahirannya yang ke-23 dan dia juga ada beritahu makcik untuk sambut hari lahirnya bersama rakan sekerja di kilang.
“Pada awalnya makcik sangka Nurul tidur di rumah rakan perempuannya kerana tak berani untuk menunggang motosikal pulang ke rumah pada waktu malam dan tidak mengesyaki sebarang perkara buruk,” katanya, semalam.
Menurutnya, namun selepas dua hari, Nurul tidak pulang ke rumah serta tidak menghubunginya sebelum meminta anak sulungnya, Hafizal, 35, supaya pergi ke kilang tempat anaknya itu bekerja.
Apa yang mengejutkan, dimaklumkan Nurul sudah tidak datang bekerja selepas 14 November dan motosikalnya juga masih berada di ruang parkir kilang berkenaan.
“Makcik ada juga berusaha untuk hubungi telefon bimbit Nurul, namun tak berjaya dan bagi mengelakkan sebarang kejadian tak diingini, makcik buat laporan di Balai Polis Labis pada 16 November.
“Bagaimanapun, beberapa hari selepas laporan polis dibuat, Nurul ada hubungi makcik dan beritahu dia berada di Kluang. Tambah mengejutkan makcik, Nurul dah berkahwin dengan lelaki Indonesia itu,” katanya.
Jamaliah berkata, dia bersama Hafizal ada memujuk Nurul dan suaminya itu supaya pulang ke rumah untuk berbincang memandangkan status pernikahan mereka masih diragui kerana dilakukan tanpa wali.
“Tapi Nurul bertegas beritahu pernikahannya sah kerana dilakukan dengan wali hakim. Dia juga beritahu suaminya melayannya dengan baik dan berharap keluarga tidak mempertikaikannya.
“Kali terakhir makcik bercakap dengannya melalui telefon pada akhir Disember tahun lalu, Nurul beritahu dia dan suaminya kini tinggal di Klang, Selangor dan bekerja kilang.
“Selepas tu makcik gagal hubunginya lagi... sebagai ibu perasaan rindu terhadap anak sentiasa ada dan makcik sekeluarga juga sudi memaafkan serta menerima pasangan Nurul,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor