Pages

Wednesday, February 24, 2016

[LIPIS] PESARA MAUT BALIK DARI KEBUN

Pesara maut balik dari kebun



Seorang warga emas maut manakala isterinya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori syarikat pembersihan di 4, Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Tempoyang, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa, Sulaiman Hussin, 67, cedera parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala isterinya, Wan Sarimah Wan Manap, 63, yang membonceng motosikal cedera di kepala dan badan dihantar ke Hospital Lipis sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan lanjut.

Ketua polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa yang juga pesara pejabat kesihatan itu bersama isteri dipercayai dalam perjalanan pulang dari kebun di Bukit Betong ke rumah mereka di Taman Cheneras Jaya.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian motosikal yang ditunggang Sulaiman merempuh bahagian tengah lori milik syarikat Alam Flora yang dipandu seorang pekerja berusia 54 tahun.

“Siasatan awal mendapati lori tersebut baharu sahaja menurunkan beberapa pekerja untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

“Pemandu tersebut kemudiannya bertindak membuat pusingan U di laluan terbabit dan tidak menyedari motosikal yang dinaiki mangsa dari arah belakang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Razak berkata, mangsa yang gagal mengelak lalu merempuh bahagian tengah lori tersebut.

“Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang mengetahui tentang kejadian berkenaan diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-3122222 atau tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Lipis untuk bantu siasatan,” katanya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor