Pages

Monday, February 29, 2016

KUCING IBARAT NYAWA, PENGUBAT LUKA


Kucing ibarat nyawa, pengubat luka


“Tak dapat saya bayangkan kehidupan tanpa kucing-kucing ini. Merekalah nyawa dan pengubat duka serta kegembiraan saya,” kata Ruhaizah Anim, 43, yang obses memelihara kucing sejak zaman kanak-kanak lagi.

Memelihara hampir 20 ekor kucing yang kebayakannya kucing buangan memberi terapi kepadanya ketika berdepan masalah.

Ruhaizah yang mesra disapa Roza berkata, layanan diberi tak ubah macam ibu beranak kecil.

“Setiap masa saya berbual dengan mereka, saya seronok bila mereka turut mengiau seolah-olah faham apa yang saya cakapkan. Kalau saya kata jangan pergi atau mari dekat ibu, kucing-kucing ini akan dengar cakap saya dan respons arahan,” katanya.

Roza juga tidak berkira wang yang dibelanjakan untuk makanan, rawatan ke klinik dan juga spa. Baginya, duit yang ada adalah sebahagian milik kucing-kucingnya.

Bagaimanapun, dia enggan berkongsi kos keseluruhan yang dibelanjakan untuk kucing kerana menganggapnya ia rezeki ALLAH untuk binatang kesayangan Rasulullah.

Dia sentiasa bersedia membeli ubat kucing yang boleh mencecah sehingga RM100 dan membaiki sangkar yang mungkin rosak.

Rezeki makin bertambah

“Orang kata bela kucing akan murah rezeki. Alhamdulillah rezeki saya sekeluarga tak pernah putus. Sebab itu saya tak kisah belanjakan duit untuk mereka,” katanya yang mengurangkan masa di luar kawasan atau bercuti ke luar negara.

Magnum, Olivia, Batman, Jasper, Lipert, Royal, Canin, Echo, Angeline, Bella, Ichang, Apple, Mak teman, Cholo dan Snowbell...mempunyai kisah tersendiri.

Baginya, jika tidak bersama kucing dalam sehari, tidak lengkap kehidupannya malah terasa seperti kosong.

“Jika ada yang sakit, saya akan ubati sampai sembuh walaupun saya berisiko. Saya juga sediakan kira-kira RM300 sebulan untuk spa. Jika mereka segar, kita juga seronok bermain dan memeluk,” katanya.

Roza pernah kehilangan kucingnya dan selepas tujuh tahun pulang dalam keadaan uzur.

“Rupa-rupanya balik hanya untuk mati. Ada seekor lagi mati disengat tebuan. Jujur saya katakan, saya tak pernah menangis sepenuh hati jika ada kematian orang-orang sekeliling saya,Tetapi dengan kucing-kucing, hati saya begitu sensitif sehingga membuatkan saya murung beberapa hari,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor