Pages

Tuesday, February 23, 2016

[KUANTAN] TIGA SUSPEK SAMUN DITAHAN


Tiga suspek samun ditahan


Tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian samun suami isteri di Jalan Darat Makbar di sini berjaya diberkas, petang kelmarin.

Suspek berusia antara 22 hingga 31 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Jenayah (URJ) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada kira-kira jam 4 petang di Taman Impian di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejayaan itu susulan tindakan pihaknya menahan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX berwarna merah untuk pemeriksaan setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di Taman Impaian di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas tiga suspek, mereka mengakui terlibat dalam kejadian samun itu.

“Suspek turut mendedahkan lokasi parang yang digunakan dalam kejadian samun yang disorok di hadapan sebuah rumah di Kampung Padang Perdana di sini.

“Kesemua suspek yang ditahan di bawa ke balai untuk siasatan lanjut manakala kereta dan parang yang ditemui dirampas bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan pada masa sama , kita turut menjejaki suspek yang masih bebas dan mengesan barang kes dalam kejadian samun ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi, 19 Februari lalu, sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila disamun empat lelaki.

“Dalam kejadian itu, seorang suspek bertindak membaling botol arak ke arah cermin depan kereta manakala seorang lagi memecahkan cermin sisi sebelah pemandu mengunakan sebatang besi sebelum melarikan beg tangan mangsa.

“Selepas mendapat habuan mereka, suspek melarikan diri menghala ke pusat bandar manakala mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor